Pemuda BN Selangor Tuntut Kerajaan Negeri Selesai Masalah Air

SHAH ALAM, 1 Nov – Kira-kira 1,500 pemuda Barisan Nasional (BN) Selangor berarak membawa baldi ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini bagi menuntut supaya masalah air yang menjejaskan kira-kira 1.6 juta pengguna di Selangor diselesaikan segera.

14906918_10210747357948705_4972723693452513144_nMereka tiba di hadapan bangunan SUK pada 11.15 pagi selepas berarak kira-kira satu kilometer dari Dataran Shah Alam.

Kumpulan itu turut melaungkan tuntutan supaya Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletak jawatan kerana tidak mampu menangani isu berkenaan.

Ketua Pemuda BN Selangor Zainuri Zainal yang mewakili kumpulan itu kemudian menyerahkan memorandum mendesak kerajaan negeri menyelesaikan isu itu dengan segera.

Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafiei.

Zainuri ketika ditemui pemberita, berkata kerajaan negeri hanya berminat bermain politik berhubung isu air dan bukan mencari penyelesaian yang kukuh.

“Kerajaan negeri menyalahkan Negeri Sembilan dan Pahang berikutan pencemaran di Sungai Langat dan Sungai Semenyih, tetapi mereka gagal melihat kilang-kilang haram di sepanjang tepi sungai dan aktiviti mengorek pasir di sungai itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC Selangor, D. Kajendran berkata masalah air yang kerap berlaku di negeri itu memperlihatkan betapa kerajaan negeri pimpinan Mohamed Azmin gagal menyelesaikan permasalahan rakyat.

Sekiranya mereka gagal melaksanakan tanggungjawab, eloklah mereka berundur dan menyerahkan semula kuasa kepada BN, katanya.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Hamdan ketika ditemui pula berkata BN sebagai kerajaan Pusat telah memberi peruntukan berbilion ringgit kepada kerajaan negeri bagi tujuan penstrukturan semula industri air di Selangor.

“Perkara ini tidak dihebohkan kerana kerajaan pusat tidak mahu isu air ini dipolitikkan, berlainan dengan kerajaan Selangor yang mempolitikkan hal ini,” katanya.

Sehubungan itu, Shahril berkata tuduhan sabotaj yang dilemparkan oleh Mohamed Azmin tidak berasas sama sekali dan jelas merupakan satu fitnah dan berniat jahat.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview