30 Peratus Restoran Mamak Masih Naikkan Harga Selepas GST Sifar

PUTRAJAYA, 12 Julai — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati 30 peratus restoran mamak di seluruh negara menaikkan  harga makanan  selepas  penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar 1 Jun lalu.

Menterinya Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata peratusan tersebut diperolehi hasil tinjauan  kementerian melalui perbandingan harga makanan di premis terbabit sebelum dan selepas pelaksanaan GST sifar itu.

“Kami dapati harga makanan di 30 peratus kedai mamak telah berlaku kenaikan harga manakala 70 peratus yang lainnya menyaksikan penurunan.

“Oleh itu kami kini giat mengenal pasti restoran yang masih degil untuk tidak menurunkan harga makanan,”katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian pertamanya sejak dilantik sebagai menteri, di sini hari ini. 

Saifuddin Nasution berkata hasil tinjauan juga memerlukan kementerian memikirkan tindakan yang bersesuaian memandangkan penguatkuasaan di kementerian itu banyak menggunakan pendekatan mendidik berbanding mendenda peniaga.           

  “Untuk kesalahan pertama kita akan nasihat, asalkan tiada pelanggaran undang-undang secara berlebihan. Sekiranya kesalahan terbabit berulang barulah tindakan tegas akan diambil,” katanya. 

 Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata pihaknya sedang merangka dasar pembaziran sifar yang merangkumi polisi untuk mengurangkan ketirisan subsidi barangan keperluan pengguna. 

  “Dasar terbabit turut mengandungi polisi bank makanan iaitu pasar raya akan mengagihkan lebihan barangan keperluan pengguna kepada golongan sasaran. 

  “Kami harap dengan adanya dasar ini program (bank makanan) akan disertai oleh pasar raya atau gedung terkemuka untuk sama-sama membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Menurutnya, polisi tersebut telah dilaksanakan di negara maju seperti Amerika Syarikat, Perancis dan Singapura dan ia boleh dilaksanakan di Malaysia selepas  diubah mengikut kesesuaian. 

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview