38 Orang Asli Dilantik Sebagai Renjer Hutan APM

GUA MUSANG, 23 Mac — Seramai 38 masyarakat Orang Asli dilantik sebagai Renjer Hutan Angkatan Pertahanan Awam (APM) di Kelantan bagi membantu Jabatan Perhutanan mengawal pencerobohan di kawasan rimba.

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Azmy Yahya berkata program itu akan diperluaskan ke Terengganu, Pahang dan Perak dengan lebih ramai kalangan masyarakat Orang Asli dilantik untuk tujuan sama.

“Renjer hutan Orang Asli ini akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan untuk melaksana tugas rondaan di hutan.

“Mereka akan bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan dalam menangani sebarang insiden yang berlaku di kawasan mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian Watikah Pegawai Kehormat dan Bersekutu serta Pelancaran Skuad Sukarelawan APM Parlimen Gua Musang di Dewan Pusat Sivik di sini, malam tadi.

Majlis yang dirasmikan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah itu turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh Datuk Nozula Mat Diah, ADUN Galas Ab Aziz Yusof dan Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Mohd Taufik Maidin.

Pada majlis itu Tengku Razaleigh juga dilantik sebagai Penolong Persuruhjaya Kehormat APM.

Selain itu, Azmy berkata Skuad Sukarelawan dalam komuniti kini ditubuhkan di seluruh negara dengan dianggotai pemimpin masyarakat dan penduduk  setempat  supaya tindakan segera dapat diambil jika berlaku bencana di sekeliling mereka.

Beliau berkata Skuad Sukarelawan ini akan diberi latihan asas tugas menyelamat agar mereka dapat memberi bantuan awal sebelum anggota APM tiba ke lokasi.

Katanya APM merancang untuk menambah keanggotaannya kepada tiga juta pada tahun ini berbanding 2.1 juta anggota sedia ada.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview