800 Anggota JPAM Perlis Siap Sedia Hadapi Banjir

PADANG BESAR, 5 Nov — Sebanyak 800 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Perlis sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir di negeri berkenaan.

Timbalan Pengarah JPAM Perlis Mohd Farid Ishak berkata daripada jumlah itu, 400 adalah anggota yang boleh digerakkan serta merta dalam tempoh dua jam apabila bermulanya banjir, manakala selebihnya bagi membantu tugas susulan operasi.

image-1“JPAM Perlis sentiasa bersiap siaga dan memastikan semua kekuatan dan aset dalam keadaan terbaik bagi menghadapi banjir, selain melancarkan tugas-tugas menyelamat mangsa banjir ke 71 pusat pemindahan yang digazetkan.

“Kita yakin kekuatan ini mampu membantu dan bergerak seiring dengan jabatan lain kerana setiap anggota didedahkan dengan kursus pengurusan bencana dan peranan di pusat pemindahan bagi melancarkan sistem operasi ketika banjir melanda sesuatu kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau latihan kemahiran persediaan menghadapi banjir bersama pengamal media Perlis di Empangan Timah Tasoh di sini, Khamis.

Mohd Farid berkata latihan itu adalah sebagai penyeragaman kepada sistem pengurusan bencana bagi Agensi Pengurusan Bencana Negara (ABPN) yang diwujudkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Bertemakan pengurusan banjir, antara latihan diadakan termasuk menguruskan pusat pemindahan serta kebajikan mangsa yang berada di pusat pemindahan di samping mengeluarkan mangsa ke tempat lebih selamat,” katanya.

Dalam latihan itu, pengamal media diberi peluang mengendalikan bot dengan membawa rakan media membuat liputan dari tempat kejadian, di samping latihan menghadapi situasi kecemasan apabila bot dinaiki mengalami masalah seperti terbalik dan kerosakan enjin.

Mohd Farid berkata pihaknya mengadakan pelbagai sesi latihan dua kali sebulan, bagi memantapkan kemahiran setiap anggota antaranya termasuk latihan mengendalikan bot, pertolongan cemas serta masakan dan bantuan perubatan ketika bencana.

Selain sukarelawan dalam kalangan orang awam, beliau berkata pihaknya juga akan menggerakkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Peringkat Komuniti (CDERT) daripada 386 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh Perlis, yang diwujudkan sebagai persediaan awal dalam pengurusan bencana banjir.

“Penglibatan komuniti setempat seperti JKKK dalam pasukan ini penting kerana mereka lebih memahami bentuk muka bumi serta lokasi yang terlibat dengan banjir,” katanya.

Turut menyertai latihan itu Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) cawangan Perlis, SISPA Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Kadet Pertahanan Awam (KAPA) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mata Ayer, sebanyak 105 orang.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview