ADUN Batang Kali Dikenakan Hukuman Pencelaan Oleh DUN Selangor

SHAH ALAM, 3 April — Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan usul menghukum ADUN Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan menerusi pencelaan atas dakwaan cuba menaruh prasangka buruk berhubung kenyataannya di persidangan DUN tahun lepas.

Usul itu terkandung dalam Penyata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JHK) DUN Selangor.

Timbalan Speaker DUN Mohd Shafie Ngah mengumumkan keputusan jawatankuasa itu selepas dibentangkan oleh ADUN Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dari PKR sebelum dibahaskan oleh anggota DUN.

Mat Nadzari dari Barisan Nasional ketika persidangan DUN pada 1 Nov tahun lepas didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat isi ataupun niat dalam pentadbiran Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk tidak mengiktiraf sistem raja berperlembagaan.

Mohd Shafie ketika mengumumkan keputusan jawatankuasa itu kepada Mat Nadzari berkata persidangan DUN memutuskan Mat Nadzari ternyata cuba menaruh prasangka buruk dalam dewan menerusi petikan ucapan beliau.

“Dewan diingatkan mengenai tuntutan berfikir dan mengkaji sebelum memberi ucapan. Yang Berhormat juga diingatkan agar jangan berprasangka buruk apatah lagi apabila ia melibatkan institusi raja,” katanya.

Pada 6 Mac lepas, Mat Nadzari memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa ucapannya pada 1 Nov 2016 itu mendapat perlindungan peruntukan undang-undang.

Antara lain, beliau memohon pengisytiharan mahkamah bahawa ucapannya itu mendapat perlindungan di bawah Jadual menurut Artikel 77 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan Jadual serta Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Sidang dewan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview