ADUN Bebas Mohon Pejabat Khas Daripada Kerajaan Johor

ISKANDAR PUTERI, 12 Ogos — Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain memohon kepada kerajaan Johor agar mempertimbangkan cadangannya supaya sebuah pejabat khas disediakan bagi ADUN Bebas.

Rasman berkata penyediaan pejabat itu penting bagi membuktikan kerajaan Pakatan Harapan sebuah kerajaan yang adil kepada sesiapa sahaja tanpa mengira fahaman politik mereka.

Beliau berkata langkah itu juga selari dengan pengiktirafan baru diterima Ketua Pembangkang Johor dari Barisan Nasional (BN) Datuk Ir Hasni Mohammad, apabila disediakan kerajaan negeri sebuah bilik khas di Aras 1, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

“Saya minta Menteri Besar berlaku adil dalam soal ini. Kalau di sebelah sana (pembangkang) ada pejabat, di sini (Bebas) pun ada pejabat.

“Kalau di sana ada elaun, di sini pun ada elaun. Ini baru dinamakan kerajaan Pakatan Harapan yang adil. Lagipun, ini kali pertama kita mempunyai ADUN Bebas dalam Dewan Undangan Negeri,” katanya ketika sesi perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini, hari ini.

Pada tengah hari tadi, Hasni secara rasmi menerima kunci bilik pejabat daripada Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat.

Pada 12 Mei lepas, Rasman mengumumkan keluar daripada UMNO dan BN menjadi ADUN Bebas.

Dua wakil rakyat lain – ADUN Endau Alwiyah Talib dan ADUN Johor Lama Rosleli Jahari, turut mengikuti jejak langkah Rasman, pada hari sama.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview