Ahli UMNO Perlu Kekalkan Semangat Kesetiaan Kepada Parti – Shafie

Taiping, 14 Julai- Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Afdal hari ini mengajak ahli-ahli dari segenap lapisan untuk mengekalkan semangat kesetiaan kepada parti bagi memastikan kesinambungan perjuangan UMNO dan Barisan Nasional menjadi tunjang untuk berkhidmat kepada rakyat berbilang kaum di Malaysia.

“Saya melihat ini merupakan nilai-nilai yang perlu diterapkan kepada ahli-ahli kita, bukan sahaja kita dah meningkatkan pengundi kita dari kalangan kompenan BN dan dari UMNO sendiri, kita kena pastikan ahli-ahli kita memberikan sokongan kepada parti kita.

Antara langkah-langkah yang perlu kita lakukan ialah mendampingi mereka pada setiap masa untuk kita memastikan mereka di landasan yang sepatutnya,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Taiping di Majlis Perbandaran Taiping hari ini di sini.

Dalam masa yang sama, beliau menyarankan kepada parti-parti kompenan BN yang lain bukan sahaja menyusun malah meningkatkan gerakkerja dan usaha untuk mendampingi dan diterima bukan sahaja dari kaum-kaum mereka sahaja malah diterima oleh rakyat 1Malaysia.

“Orang melayu harus sedar dan tahu pengagihan kerusi, bukan UMNO semua sahaja yang mendapat kerusi, bukan semuanya diwakili UMNO tetapi ada wakil-wakil dari kompenan BN akan bertanding di kawasan kita.

Jadi ia menuntut semua parti yang ada, bukan sahaja UMNO bahkan parti-parti kompenan yang ada perlu bekerja kuat bagi memastikan kita akan meraih kejayaan dalam pilihanraya umum yang akan datang,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Shafie menasihatkan ahli-ahli UMNO dan BN yang lain agar jangan lalai dan terlalu selesa walaupun YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah melaksanakan segala tanggungjawab dan peranannya dengan baik kerana PRU13 ini merupakan satu pilihanraya yang mencabar dan memerlukan kesiap-siagaan kita di satu tahap yang begitu tinggi pada setiap ketika.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview