Ahmad Kassim Dilantik Speaker DUN Kedah

ALOR SETAR, 4 Julai  — Kemelut pelantikan Speaker bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berakhir hari ini apabila Datuk Ahmad Kassim dilantik memegang jawatan itu pada Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama DUN Kedah hari ini. 

Beliau dipilih selepas mendapat 21 undian mengalahkan seorang lagi calon iaitu Pesuruhjaya PAS negeri Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi yang memperoleh 15 undi. 

Ahmad, 55, merupakan bekas Anggota Parlimen Kuala Kedah selama sepenggal apabila menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 setelah menewaskan calon Barisan Nasional (BN) pada ketika itu, Hashim Jahaya. 

Terdahulu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir mencadangkan nama Ahmad dan disokong ADUN Pengkalan Kundor Datuk Dr Ismail Salleh. 

Pelantikan Speaker DUN Kedah sebelum ini berhadapan masalah apabila kedudukan kerusi di kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang adalah sama, iaitu 18 kerusi. 

PAS sebelum ini mencadangkan kerajaan perpaduan dan menyarankan agar calon Speaker dilantik daripada bukan kalangan ADUN, namun ia ditolak Mukhriz atas alasan sekiranya calon itu diterima, maka  bilangan pembangkang dalam dewan mungkin akan menjadi 19, berbanding 18 di pihak kerajaan.

Perkara itu membawa kepada beberapa pertikaian sehingga timbul isu daripada PAS untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) sekiranya isu itu masih tidak dapat diselesaikan.

Difahamkan, tiga ADUN BN Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Datuk  Norsabrina Mohd Noor (Bandar Baharu) dan Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang) yang bertindak sebagai ‘kingmaker’, menyokong calon daripada kerajaan itu. 

Seramai 36 ADUN terdiri daripada 18 ADUN Pakatan Harapan, 15 (PAS) dan tiga ADUN BN turut mengangkat sumpah memegang jawatan di hadapan Speaker DUN yang baharu hari ini. 

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview