Ahmad Said Minta Rakyat Perak Tolak Pas, Jadikan Terengganu Sebagai Teladan

BAGAN DATOH, 30 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO  Terengganu Datuk Seri Ahmad Said meminta rakyat Perak tidak terpedaya dengan janji manis Pas yang ingin meraih sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan perlu menjadikan Terengganu yang pernah dikuasai parti itu sebagai teladan.

Beliau merujuk keadaan Terengganu pada tahun 1999 ketika di bawah pemerintahan Pas yang tidak menikmati sebarang pembangunan, malah hanya ditabur janji kosong.

“Terengganu telah diperintah Pas pada pilihan raya pertama. Namun tidak ada apa yang dilakukan oleh PAS pada tempoh itu, sebaliknya hanya berbohong, memfitnah dan mengeluarkan fatwa yang sesat sehingga mengelirukan rakyat.

“Pas ini tidak konsisten, dan pemikirannya sentiasa berubah-ubah. Setiap kali pilihan raya, mereka hanya mengeluarkan manifesto yang baru, namun tidak menepatinya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gerak Kerja Jentera PRU-13 Barisan Nasional (BN) Parlimen Bagan Datoh di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datoh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Rungkup Datuk Shaarani Mohamad serta anggota badan perhubungan Umno Bagan Datoh dan Terengganu.

Ahmad berkata segala perancangan Pas  merupakan taktik untuk menggugat kepercayaan rakyat pada pilihan raya supaya parti itu dan pakatan pembangkang boleh keluar daripada masalah dalaman mereka ketika ini.

Beliau turut menyeru rakyat Perak agar tidak menyokong dan memberi peluang kepada parti itu merampas kerusi Parlimen dan Dewan Udangan Negeri (DUN) Perak malah terus memberi kepercayaan kepada kepimpinan BN untuk memerintah Negara ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh, berkata beliau optimis kerusi DUN Hutan Melintang, yang dikuasai calon Parti Keadilan Rakyat S.Kesavan, mampu dirampas berdasarkan gerak kerja pimpinan BN yang komited.

“Segala kesilapan yang pernah kita lakukan sebelum ini akan kita tebus semula.

“Saya harap selepas ini kita semua bertekad untuk terus komited dan dapatmenyelesaikan segala permasalahan di peringkat akar umbi,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview