Apa Motif Kerajaan DAP Pulau Pinang Nafikan Hak Masyarakat Bumiputera??

PULAU PINANG, 19 Okt. – Pendedahan berkaitan kerajaan Negeri Pulau Pinang yang tidak membelanjakan wang dalam Akaun Amanah Perumahan Bumiputera berjumlah RM33.36 juta dianggap sebagai menidakkan hak golongan terbabit di kawasan berkenaan.

Tanpa menolak kemungkinan tindakan tersebut mempunyai kaitan dengan agenda jahat, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Helmi Abdul Rashid melihat bahawa kerajaan Negeri Pualu Pinang yang ditadbir oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri telah menidakkan hak golongan bumiputera yang sewajarnya mendapat kemudahan daripada peruntukan yang disalurkan.

“Ini adalah satu kerugian besar kepada masyarakat bumiputera di Pulau Pinang kerana sepatutnya akaun terbabit digunakan sepenuhnya untuk membantu mana-mana pihak yang menghadapi masalah berkaitan perumahan,” katanya.

Laporan media memetik Setiausaha Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang Mohd Nor Suhaili Jamali mahukanpenjelasan mengenai tindakan Guan Eng yang tidak membelanjakan wang Akaun Amanah Perumahan Bumiputera berjumlah RM33.36 juta bagi membina rumah mampu milik atau kos rendah untuk rakyat.

“Sebagai sebuah kerajaan sewajarnya mereka membantu rakyat dengan menggunakan wang peruntukan yang ada untuk menangani masalah kaum bumiputera di negeri ini khususnya dalam berdepan masalah perumahan,” katanya.

Maklum beliau yang juga bekas ADUN Bertam, semasa pentadbiran kerajaan negeri diselia oleh Barisan Nasional, bantuan kepada kaum bumiputera dalam menangani masalah berkaitan perumahan dapat disalurkan namun demikian keadaan tersebut tidak diteruskan apabila kerajaan negeri beralih tampuk kepimpinan kepada DAP yang merupakan sekutu pakatan pembangkang bersama PKR dan Pas.

“Jumlah dalam akaun tersebut bukan sedikit dan sekiranya ia digunapakai sebagaimana yang telah digariskan maka tentulah golongan bumiputera di negeri ini akan lebih terbela,” jelasnya lagi.

Akaun Amanah Perumahan Bumiputera Pulau Pinang yang ditubuhkan pada September 2009 bertujuan mengakaunkan sumbangan kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, pemaju atau pihak lain bagi melaksanakan aktiviti atau program yang berkaitan dengan pembelian atau pembangunan tanah, rumah, ruang komersial atau hartanah lain untuk manfaat penduduk bumiputera.

Akaun tersebut diletakkan di bawah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang yang mempunyai misi menjamin kepentingan bumiputera Pulau Pinang menerusi perancangan, penyelarasan, pelaksanaan dan pemantauan yang cekap dan berkesan.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview