APM Pelawa Agensi Kerajaan, Pihak Swasta, NGO Terlibat Latihan Pertahanan Awam

JOHOR BAHRU, 1 Julai — Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sentiasa mengalu-alukan penglibatan agensi kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan secara bersama latihan dan kursus-kursus pertahanan awam dengan APM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi APM, Roslan Wahab berkata ini berikutan menerusi penglibatan itu, satu pasukan sukarelawan khas boleh diwujudkan bagi membantu mengenai aspek pengurusan bencana.

Menurutnya, pendekatan serupa pernah dilakukan bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Johor Corporation (JCorp) baru-baru ini yang menyaksikan keduanya telah membentuk Briged Bencana MBJB dan Ahli Briged Waqaf JCorp untuk dijadikan sebagai Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT).

“Kerjasama seperti ini penting dalam kita mengambil langkah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bentuk bencana, jadi sekiranya ada perkara yang tidak diingini berlaku kita mempunyai pasukan agensi dan sukarelawan yang cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadairi Majlis Penganugerahan Pingat, Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Watikah Warga APM Negeri Johor, di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Setia Tropika, di sini, hari ini.

Katanya, kesediaan sesetengah pihak untuk mengadakan kerjasama (terlibat sama latihan) turut mencerminkan bahawa terdapat kecenderungan dalam kalangan masyarakat untuk mendapatkan latihan dan kursus-kursus pertahanan awam daripada APM.

Sementara itu, Pengarah APM Johor, Kolonel (PA) Mat Zin Bujang memaklumkan bahawa pihak APM Johor kini turut dalam perbincangan bersama pihak Desaru Coast bagi menubuhkan Pasukan Penyelamat Pantai di Pantai Desaru bermula Januari 2019,

“Segala kos peralatan seperti mini menara, alat-alat bantuan dan menyelamat termasuk elaun kakitangan akan ditanggung sepenuhnya oleh Desaru Coast manakala APM Johor akan membekalkan tenaga kerja.

“Kami sedang dalam perbincangan untuk mengenal pasti lokasi-lokasi yang sesuai untuk kami tempatkan anggota kami bertugas. Majlis perasmian pasukan ini dijangka dibuat pada Disember 2018 oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview