Azim Zabidi Ditamatkan Perkhidmatan DI ISN Serta Merta Hari Ini

KUALA LUMPUR, 16 Julai — Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi ditamatkan perkhidmatannya  serta-merta hari ini.

Mengesahkan perkara itu, Abdul Azim berkata beliau ada menerima surat penamatan perkhidmatan hari ini, dan beliau menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

Beliau tidak menolak kemungkinan lantikan politik menjadi punca utama penamatan perkhidmatannya.

“Saya terima surat hari ini daripada Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Syed Saddiq Abdul Rahman mengatakan khidmat saya sebagai pengerusi ISN ditamatkan serta-merta.

“Jadi saya ingin ucapkan terima kasih kepada warga ISN yang telah memberikan kerjasama dan sokongan kepada saya selama ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi perjumpaan bersama wakil  Persatuan Pelayaran Malaysia (PPM) dan atletnya di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini.

Beliau adalah Timbalan Presiden MOM. 

Dalam pada itu, beliau yang kelihatan positif, menegaskan  penamatan perkhidmatan itu tidak menjejas  semangatnya dalam memberi sumbangan terhadap sukan negara.

Abdul Azim, yang juga Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Asia 2018 di Indonesia,  berkata  matlamat utamanya sejak menjawat jawatan itu pada Mei 2017 adalah meningkatkan mutu pentadbiran serta pengurusan  ISN.

“Habis saja Sukan Asia 2018 maka tamatlah tugas saya sebagai CDM. Bukannya jika saya tidak berada di dalam ISN saya tidak boleh menyumbang apa-apa untuk sukan.

“Ini bukan pengakhiran buat saya. Selepas ini saya boleh berikan lebih tumpuan kepada MOM,” tambah beliau.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview