Bakal Datuk Bandar KL Tekad teruskan Kecemerlangan Ahmad Fuad

Kuala Lumpur, 26 Jun — Datuk Ahmad Phesal Talib yang bakal menggantikan Tan Sri Ahmad Fuad Ismail sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur berkuatkuasa 18 Julai, mahu meneruskan kecemerlangan Ahmad Fuad terutamanya dalam isu pembangunan dan perkhidmatan di ibu negara.

“Ini adalah amanah yang cukup besar dan mencabar dan pada masa sama, saya perlu mengiktiraf sumbangan Tan Sri Ahmad Fuad daripada segi penambahbaikan dan peningkatan perkhidmatan di Kuala Lumpur.

“Saya cuma meneruskan, menambah dan membaiki apa yang patut,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Bernama Radio 24 di Wisma Bernama di sini hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu untuk tempoh dua tahun, menggantikan Ahmad Fuad yang tamat tempoh kontraknya pada 15 Julai depan.

Ahmad Phesal berkata beliau juga akan berusaha merealisasikan harapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengemudi Kuala Lumpur ke dalam senarai 20 bandar raya paling selesa untuk didiami dan bertenaga daripada segi ekonomi di dunia menjelang 2020.

Selain itu, Ahmad Phesal juga akan menumpukan terhadap pembangunan rumah mampu milik bagi golongan muda di ibu negara.

“Rumah mampu milik untuk generasi muda berharga RM200,000 hingga RM300,000 tidak banyak di Kuala Lumpur sehinggakan ada yang terpaksa berulang-alik dari Nilai, Tanjung Malim dan Rawang untuk bekerja di Kuala Lumpur sebab tiada rumah (di Kuala Lumpur),” katanya. – Bernama

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview