Baling Baldi Kerana Azmin Enggan Terima Memorandum Isu Air – UMNO Selangor

SHAH ALAM, 2 Nov — UMNO Selangor menegaskan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor perlu bertanggungjawab menyelesaikan segera isu gangguan bekalan air yang berlarutan di negeri ini.

14906918_10210747357948705_4972723693452513144_nKetua Penerangannya Datuk Zein Isma Ismail berkata tindakan membaling baldi dan botol air di perkarangan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini semalam, disebabkan rasa tidak puas hati mereka berikutan keengganan menteri besar menerima memorandum daripada Pemuda UMNO berhubung isu gangguan bekalan air itu.

“Ini isu air… isu yang wajib dan perlu diselesaikan oleh kerajaan negeri…air satu keperluan dan sebagai penduduk di Selangor yang terbelenggu dengan masalah itu, mereka berhak untuk menuntut supaya isu itu diselesaikan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya UMNO Selangor menyelar pihak tertentu yang melabelkan Pemuda UMNO sebagai samseng berhubung tindakan sebahagian daripada kira-kira 200 orang yang mengiringi Exco Pemuda UMNO Datuk Armand Azha Abu Hanifah untuk menyerahkan memorandum itu kepada Mohamed Azmin.

Zein Isma berkata tindakan itu bukan bersifat kekerasan seperti didakwa tetapi untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap gangguan bekalan air berlarutan yang dihadapi penduduk di beberapa kawasan di Selangor.

“Kalau mahu dibandingkan tindakan kumpulan itu dan kumpulan Bersih mana lagi samseng… mereka hanya baling baldi sebab mahu kerajaan selesaikan masalah air, tetapi Bersih ganggu keselamatan, rosakkan kemudahan awam dan ada yang bertindak terbalikkan kereta polis.

“Kumpulan itu bertindak membaling baldi dan botol air berikutan keengganan Azmin untuk menerima memorandum yang dihantar Pemuda UMNO berhubung isu air kepada beliau,” katanya.

Mereka dilaporkan berkumpul di hadapan bangunan SSAAS ekoran sudah tidak tahan dengan masalah gangguan bekalan air di Selangor yang tidak berkesudahan.

Terbaru pada 23 Okt, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih ditutup buat kali keempat dalam tempoh dua bulan susulan pencemaran bau. Sebelum itu, ia ditutup pada 22 dan 23 Sept serta 4 Okt.

Pencemaran juga membawa kepada penutupan sementara LRA Langat dan Cheras pada 8 Okt susulan bekalan air mentahnya dikesan mempunyai bau yang luar biasa.

Penutupan itu menyebabkan beberapa kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview