‘Beri Kerajaan Masa Untuk Konsisten’

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia komited untuk kekal sebagai negara mesra perniagaan dan adil kepada pelabur serta syarikat asing.

Menegaskan kerajaan tidak akan melakukan kesilapan pentadbiran terdahulu, Perdana Menteri berkata, semua pelaburan dan perniagaan akan mengikut peraturan ditetapkan.

“Kita akan membetulkan kesilapan pentadbiran terdahulu. Kami tidak boleh dikatakan tidak konsisten kerana baru tiga minggu membentuk kerajaan.

“Beri kami masa dan kami jamin tidak melakukan kesilapan dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Presiden Pakatan Harapan (PH) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai beberapa keputusan kerajaan yang tidak konsisten dan menggugat kepercayaan pelabur asing.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan pembatalan projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 3 atau Laluan MRT Lingkaran (MRT3) manakala projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dikaji semula, tertakluk kepada perbincangan dengan Singapura kerana implikasi kewangan yang tinggi.

Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak wajar dilabel tidak konsisten susulan beberapa keputusan yang dibuat beberapa hari lalu.

Dalam keadaan kerajaan baru dibentuk, katanya, kerajaan perlu diberi peluang untuk menjadi konsisten.

“Kerajaan mahu menjadikan negara ini destinasi perniagaan mesra pelabur, tidak kira dari negara mana pun. Syarikat tempatan atau asing, semua akan dilayan dengan sama. Jika ada masalah, beritahu kami. Kerajaan ini akan cuba menanganinya,” katanya.

Mengulas Projek Bandaraya Baharu Langkawi bernilai kira-kira RM30 bilion yang diberikan kepada pemaju hartanah Tan Sri Ting Pek Khiing, Perdana Menteri berkata, kelulusan projek adalah kuasa kerajaan negeri.

Katanya, sesiapa saja boleh melabur di Langkawi jika mampu berbuat demikian.

Projek Bandaraya Baharu Langkawi akan dibangunkan di kawasan seluas 81 hektar yang ditebus guna di barat pulau berkenaan.

 

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview