Biar Anggota Gabungan PBNS Tentukan Siapa Presiden Baharu – Aminuddin

SEREMBAN, 10 Jun — Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun menyerahkan kepada anggota gabungan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) untuk menentukan siapa presiden baharu persatuan itu berikutan peletakan jawatan presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini.

Aminuddin berkata beliau sedia maklum mengenai peletakan jawatan Mohamad sebagai presiden PBNS dan terpulang kepada anggota gabungan PBNS untuk menentukan siapa presiden baharu mereka.

“Saya serahkan kepada anggota gabungan PBNS untuk mereka tentukan sendiri arah mana persatuan ini hendak dibawa. Yang penting bagi kita ialah kesinambungan kepimpinan dan saya rasa perlu diberi ruang kepada golongan muda untuk menerajui PBNS. Bagi saya tiada masalah dan buatlah keputusan dengan bijak demi kemajuan sukan bola sepak negeri ini.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada PBNS kerana bola sepak mempunyai ramai peminatnya di negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ditanya jika anggota gabungan PBNS berpendapat beliau sendiri mengambil alih jawatan (presiden) itu, Aminuddin berkata beliau akan mempertimbangkan perkara itu tetapi buat masa ini beliau belum memutuskannya lagi.

“Apa-apa pun saya serahkan kepada persatuan sendiri untuk tentukan masa depan mereka. Mana yang baik mereka fikirkan, itu yang lebih baik. Saya tidak ingin membuat percaturan atau menentukan siapa harus berada sebagai presiden, timbalan presiden dan sebagainya…ini saya serahkan kepada persatuan.

“Kita hendak ada kebebasan demokrasi dalam mereka menyusun persatuan mereka sendiri,” katanya.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PBNS Rabu lepas, Timbalan Presiden PBNS Datuk Seri Mat Ali Hassan mengumumkan peletakan  jawatan Mohamad sebagai Presiden PBNS.

Turut meletak jawatan ialah Naib Presiden PBNS Datuk Ghani Hasan dan Bendahari PBNS Datuk Mohd Haslah Mohd Amin.

Mat Ali berkata jawatan presiden PBNS kini dipangku beliau buat sementara.

Katanya PBNS akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa dengan satu agenda untuk membuat pengisian semua jawatan melalui pertandingan.

Tarikh mesyuarat agung luar biasa itu bagaimanapun akan ditetapkan dalam mesyuarat pengurusan nanti.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview