BN Akan Lakukan Yang Terbaik Untuk Rakyat Jika Rampas Kembali Kedah- Mukhriz

KODIANG, 13 Okt  — Barisan Nasional (BN) akan memikir dan melakukan perkara terbaik untuk kepentingan rakyat Kedah, termasuk melantik Timbalan Menteri Besar, bagi melicinkan pentabiran jika merampas kembali negeri ini daripada pakatan pembangkang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata pentadbiran negeri tidak boleh terganggu kerana rakyat sentiasa memerlukan khidmat.

“Jangan bagi alasan tidak sihat. Bagi rakyat, khidmat adalah penting. Kita sihat atau tidak, khidmat dan urusan penting tetap kena dilaksanakan. Pentadbiran negeri tidak boleh tergendala.

” ….ke depan kita tak tahu apa nak berlaku. Jadi, saya fikir elok ada Timbalan Menteri Besar,” katanya diminta mengulas situasi Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang sukar ditemui akhir-akhir ini.

Azizan beberapa kali tidak mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco sebelum ini,  difahamkan beliau jarang menghadiri majlis kerana masalah kesihatan.

Mukhriz, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, ditemui selepas merasmikan perpustakaan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Choong Hwa hari ini.

Beliau berkata bagi mengelak perkara seperti itu berlaku, maka jawatan Timbalan Menteri Besar wajar diwujudkan dengan mandat jelas dan tidak melampaui batas untuk menjalankan tugas apabila keadaan memerlukan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mukhriz berkata wakil rakyat BN sedaya-upaya berusaha memenuhi permintaan dan menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau memberi contoh hubungan baik dengan Datuk Abu Hassan Sarif (Ketua Bahagian dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh) memudahkan mereka memberi khidmat terbaik kerana seiring dengan pucuk pimpinan peringkat pusat.

“Situasi ini memudahkan kami untuk merealisasikan permintaan masyarakat Tionghua di sini.

“Saya harap rakyat terus memberi sokongan supaya khidmat baik ini dapat dilebarkan ke seluruh negeri, terutama kawasan diwakili BN,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview