Calon MCA Anak Jati Balakong Tekad Beri Khidmat Terbaik

BALAKONG, 16 Ogos – Calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong Tan Chee Teong menganggap peluang bertanding di kubu kuat DAP bukan satu ancaman malah menjadi pemangkin semangat membuktikan kemampuannya untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat.

Tan, 40, mengakui meskipun misinya itu dianggap sebagai ‘mission impossible’ oleh rakan-rakannya, namun beliau bertekad untuk masuk ke DUN Selangor bagi melaksanakan peranan ‘semak dan imbang’ sebagai pembangkang.

“Ramai yang beranggapan saya membuat keputusan ‘gila’ namun sebagai anak jati yang lahir dan membesar di Balakong, saya menyahut cabaran itu dan peluang yang diberikan ini dapat membuktikan kemampuan saya (membantu) penduduk-penduduk kawasan ini.

“DUN Selangor perlu ada suara-suara pembangkang yang lantang untuk memainkan peranan ‘semak dan imbang’ dalam segala perancangan dan pembangunan oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera dan memperkenalkan calon PRK DUN Balakong semalam.

Katanya beliau tidak mempunyai masalah untuk mendekati pengundi-pengundi Balakong memandangkan kebanyakan daripada mereka sudah mengenalinya.

“Ini adalah kampung dan jiwa saya dan saya sangat memahami akan kebajikan mereka terutamanya dalam isu trafik, bekalan air, banjir kilat, denggi dan sebagainya. Hanya anak jati Balakong yang dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat berdasarkan pemahaman menyeluruh terhadap keperluan dan kehendak mereka pada setiap masa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata PRK DUN Balakong merupakan peluang terbaik buat pengundi untuk bersuara selepas 100 hari pentadbiran kerajaan PH.

“Sehingga kini masih ada lagi janji-janji yang belum dilaksanakan seperti penghapusan tol…. isu PTPTN meskipun sudah memasuki hari ke-98 hari ini.

“Saya berani mencabar mereka dengan hanya tinggal dua hari lagi mereka tidak mampu untuk melaksanakan janji-janji ‘kosong’ yang ditaburkan kepada rakyat, jadi inilah masanya PRK menjadi ‘kayu pengukur’ buat mereka terhadap kerajaan baharu,” katanya.

PRK pada 8 Sept ini menyaksikan MCA menggunakan lambang partinya sendiri.

Kerusi DUN Balakong kosong susulan kematian penyandangnya, Eddie Ng dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Ng yang mewakili DAP menewaskan dua pesaingnya iaitu calon Barisan Nasional Lim Chin Wah dan calon PAS Mohamad Ibrahim Ghazali dengan majoriti 35,538 undi.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview