Calon PKR Bertanding Di PRK Sg Kandis – Tun Mahathir

PUTRAJAYA, 6 Julai  — Pakatan Harapan (PH) akan menampilkan calon daripada PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan negeri (DUN) Sungai  Kandis  susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei, Isnin lalu.

Perdana  Menteri Tun Dr Mahathir  Mohamad berkata setakat ini masih belum ada senarai pendek calon yang akan bertanding bagi kerusi berkenaan.

“Seorang daripada wakil rakyat kita meninggal di Sungai Kandis dan kita akan buat persiapan untuk adakan pilihan  raya kecil dan calon PH adalah daripada PKR,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH, di sini hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata untuk PRK Sungai Kandis, calon berkenaan akan menggunakan simbol dan bendera parti PKR.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata setakat ini parti masih belum menerima senarai nama calon daripada PKR Selangor untuk PRK berkenaan.

“Sehingga kini kami belum terima nama-nama (calon). Sejurus setelah terima (senarai nama calon) pimpinan (PKR) pusat akan muktamadkan dan kemudiannya memaklumkan dan dapat persetujuan daripada pimpinan PH dan setelah itu barulah proses pengumuman (nama calon) dilakukan,” katanya.

Mat Shuhaimi, 50, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya pada 11.10 pagi akibat kanser limfoma.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Mat Shuhaimi yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menang dengan majoriti 12,480 undi, mewakili PKR dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, PAS dan PRM.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas mengenai PRK Sungai Kandis pada Isnin ini.

Sementara itu, mengulas isu pelantikan timbalan menteri pertahanan, Dr Mahathir berkata ia hanya akan dibuat selepas individu terbabit mengangkat sumpah jawatan senator di Dewan Negara.

“Ada (calon) tetapi tidak dapat dilantik waktu ini kerana dia bukan wakil rakyat. Kita perlu lantik (beliau) sebagai  senator dahulu,” katanya.

Ditanya sama ada individu tersebut termasuk dalam tiga lagi anggota kabinet yang akan dilantik seperti yang dinyatakan sebelum ini, perdana menteri berkata perkara itu belum diputuskan. 

Sebelum ini Dr Mahathir dilaporkan tidak menolak kemungkinan jawatan timbalan menteri pertahanan itu akan diisi oleh senator.

Isnin lalu 13 lagi menteri dan 23 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan dan ikrar taat setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview