Chong Wei, yang melonjak ke kedudukan keenam dalam ranking terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan jaguh Jerman, Marc Zwiebler 21-12, 21-12.

imageKemenangan itu bakal menemukannya dengan jaguh China, Chen Long yang terlebih dulu mara selepas berhempas pulas menumpaskan pemain utama Thailand, Boonsak Ponsana 19-21, 21-8, 21-13.

Pertemuan ini hadir kurang seminggu selepas Chong Wei mengalahkan Chen Long 21-15, 21-11 dalam final Siri Super Premier Terbuka China, Ahad lalu, namun secara keseluruhan jaguh China itu masih memegang rekod pertemuan mereka dengan memenangi 12 daripada 22 perlawanan.

Chong Wei, 33, yang dilihat berada pada prestasi terbaiknya selepas turut menundukkan musuh tradisi, Lin Dan dalam separuh akhir di Fuzhou, minggu lalu, bagaimanapun enggan terlalu memikirkan tentang misi mengulangi kemenangan ke atas Chen Long apabila kedua mereka bertemu sekali lagi hari ini.

Malah, jurulatihnya, Tey Seu Bock menegaskan, mencatat kemenangan kedua berturut-turut ke atas Chen Long bukan agenda utama bekas pemain No. 1 dunia itu, sebaliknya dia hanya mahu fokus satu perlawanan ke satu perlawanan tanpa meletakkan tekanan tambahan.

“Chong Wei tidak mahu terlalu memikirkan apa yang berlaku minggu lalu. Saya tidak fikir hanya kerana berjaya mengalahkan Chen Long sebelum ini maka dia wajib untuk menang lagi minggu ini.

“Dia hanya mahu memberi tumpuan kepada perlawanan satu demi satu, dan sudah tentu pertemuan esok (hari ini) adalah satu perlawanan baharu.

“Memang diakui dia (Chong Wei) agak kepenatan kerana beraksi dalam dua kejohanan berturut-turut, tetapi penat atau tidak, dia tetap perlu fokus kepada permainannya. Malah, saya rasa kebanyakan pemain juga kepenatan,” kata Seu Bock.

Chong Wei merupakan juara Terbuka Hong 2013, 2010 dan 2009, manakala Chen Long tidak pernah memenangi kejohanan tersebut, namun dia turun dengan reputasi selaku juara dunia.

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam kejohanan bernilai AS$350,000 (RM1.51 juta) itu turut diteruskan oleh beregu lelaki utamanya, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang cemerlang menumpaskan pasangan Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Shin Baek Cheol 22-20, 21-18.

Bagaimanapun, kempen seorang lagi perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng berakhir selepas tumpas mudah 12-21, 14-21 kepada pemain China, Wang Zhengming.