Chong Wei Tewas, Lin Dan Raih Kejuaraan Sulung Terbuka Malaysia

KUCHING, 9 April — Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei gagal menambah koleksi kejuaraan ke-12 Terbuka Malaysia, sekali gus memberi seteru utamanya, Lin Dan gelaran pertama kejohanan ini.

Lin Dan jelas masih lawan yang liat buat Chong Wei apabila tunduk 19-21, 14-21 dalam aksi final impian perseorangan lelaki antara dua pemain handalan dunia di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini hari ini.

Chong Wei yang menundukkan Lin Dan di gelanggang sama pada 2006 untuk gelaran ketiganya di Terbuka Malaysia, gagal menamatkan set pertama ketika mendahului 19-15 dan kesempatan itu membolehkan Lin Dan bangkit untuk menang 21-19.

Set kedua nyata milik Lin Dan biarpun Chong Wei mendapat sokongan gemuruh penonton, bagi menamatkan rentetan tiga kekalahan kepada pemain negara dalam pertemuan terakhir mereka termasuk di separuh akhir Sukan Olimpik Rio.

Ia juga menamatkan impian Chong Wei, juara 11 kali Terbuka Malaysia, untuk mendapatkan gelaran ke-12 di kejohanan ini.

Rekod pertemuan mereka kini pada 26-12 yang berkelebihan kepada Lin Dan.

Pilihan utama beregu campuran dari China, Zheng Siwei-Chen Qingchen tidak menghadapi masalah meraih kejuaraan menewaskan pasangan senegara yang juga pilihan keempat, Lu Kai-Huang Yaqiong.

Berada pada kedudukan pertama ranking dunia, Zheng-Chen menang 21-15, 21-18, sekali gus melebarkan rekod kemenangan mereka kepada lima daripada tujuh pertemuan.

Ia turut membolehkan Zheng-Chen menebus kekalahan kepada lawan sama di final Terbuka India minggu lepas.

Zheng berkata mereka lebih tenang bermain hari ini berbanding ketika tewas pada final Terbuka India.

“Kami bermain dengan fokus untuk mendapat mata demi mata. Lawan kami nampak banyak melakukan kesilapan yang memberi mata kepada kami,” katanya.

Zheng juga berkata beliau mungkin tidak menyertai Terbuka Singapura dari 11-16 April ini kerana kepenatan walaupun pasangannya, Chen akan ke sana untuk beraksi dalam acara beregu wanita.

Gelaran perseorangan wanita menjadi milik pilihan utama dari Taiwan, Tai Tzu Ying, naib juara kejohanan ini pada edisi 2016 yang menebus kekecewaan lalu apabila menewaskan Carolina Marin dari Sepanyol dalam masa 85 minit.

Tai, pemain ranking pertama ketika ini tewas set pertama 23-25 kepada juara Olimpik 2016 itu sebelum bangkit menyamakan kedudukan dengan kemenangan 22-20 di set kedua.

Marin, juara Seluruh England, jelas keletihan dalam set penentuan apabila menyerah mudah 13-21 sekali gus membolehkan pemain Taiwan itu meraih gelaran yang kali terakhir dimiliknya pada 2013.

Acara beregu wanita menyaksikan gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota menewaskan pasangan China, Huang Yaqiong-Tang Jinhua 21-17, 18-21, 21-12 untuk muncul juara.

Menurut Hirota, pengalaman bertemu gandingan China itu pada suku akhir Terbuka India lalu dijadikan panduan untuk sekali lagi menyingkirkan lawan tersebut.

“Kami tahu apa yang perlu dilakukan (untuk menang). Awal permainan memang kami gementar tetapi kami telah berbincang untuk menikmati sahaja permainan dan hasilnya kami berjaya,” katanya.

Juara Seluruh England, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia pula muncul juara beregu lelaki selepas menewaskan gandingan China, Fu Haifeng-Zheng Siwei 21-14, 14-21, 21-12.

Kemenangan gandingan Indonesia itu menambah koleksi kejuaraan mereka tahun ini selepas Seluruh England dan Terbuka India minggu lepas.

Kevin berkata tiada rahsia utama kejayaan itu namun setiap kali turun ke gelanggang, mereka tidak membebankan diri untuk menang.

“Bila di lapangan kami tidak fikir kalah atau menang…ya kami sememangnya penat (selepas dua kejohanan) sehingga tewas set kedua tetapi kami nekad untuk teruskan perjuangan kerana sudah ada di final,” katanya yang akan menyertai Terbuka Singapura Rabu ini.

Berita Berkaitan