DAP Kotor: Salah Guna Kuasa Dan Campur Tangan Di PBT Amat Teruk Dan Memalukan- Ching

Shah Alam, 26 Jun – Timbalan Ketua Pemuda MCA Selangor, Ching Eu Boon hari ini mendedahkan  campur tangan ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dari DAP iaitu saudari Tiew Way Keng yang menyalahgunakan kuasa beliau untuk memberikan kontrak kepada firma peguam untuk menguruskan kes melibatkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Tiew Way Keng telah menyalahgunakan kuasa beliau untuk memberikan kontrak ini kepada firma peguam yang dimiliki oleh Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dengan kos sebanyak RM 55,000 sedangkan kontrak awal telah pun diberikan kepada pihak guaman yang lain dengan kos hanya sebanyak RM15,000 sahaja.

“Selama ini, DAP cuba menonjolkan imej parti yang lebih bersih dan telus berbanding PKR dan PAS. Pemimpin-peimpin DAP sedaya upaya mengekang berita-berita buruk dan salah laku pemimpin mereka dari tersebar kepada rakyat.

Namun begitu, ini tidak bermakna DAP merupakan sebuah parti yang bersih. Hakikatnya, campur tangan DAP dalam pentadbiran kerajaan negeri terutamanya diperingkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah begitu teruk dan memalukan sekali,” ujarnya kepada media dalam sidang media di Ibu Pejabat BN Selangor, sebentar tadi.

Tambahnya, menurut Penolong Pengarah Undang-Undang (Kanan) MBPJ, Ahli Majlis, Tiew Way Kheng telah mempengerusikan mesyuarat pada 16 Jun 2010 dan mencadangkan supaya Stella, Lim & Co diberikan kes membabitkan kutipan hutang MBPJ. Stella, Lim & Co menawarkan harga sebanyak RM 55,000 untuk tujuan tersebut.

Sebenarnya, kes kutipan hutang itu mulanya diserahkan kepada Firma Daim & Gamany dengan kos sebanyak RM 15,000. Tetapi keputusan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tiew Way Kheng telah memutuskan untuk memberikan kepada Firma Stella, Lim & Co yang juga dimiliki oleh Ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng.

“Walaupun jawatankuasa mesyuarat itu mempunyai 17 ahli, namun hanya tiga ahli majlis yang hadir iaitu Tiew Way Kheng, Chan Chee Kong dan Derek Fernandez. Derek mengakui bahawa beliau terpaksa meninggalkan mesyuarat kerana urusan lain dan Chan Chee Kong pula mengakui bahawa beliau tidak tahu Stella, Lim & Co mempunyai hubungan dengan DAP.

Bersama-sama ini juga saya akan mengedarkan laporan audit yang dibuat oleh pihak Audit Dalaman MBPJ. Ini merupakan contoh salah laku yang timbul setelah didedahkan oleh sumber dalaman sendiri. Saya percaya jika sumber dalaman tidak mendedahkan mengenai isu ini, maka kes ini akan dibiarkan berlaku tanpa ada pihak yang akan bertangungjawab.

Saya juga yakin bahawa DAP sebenarnya tidaklah bersih seperti yang disangka. Penglibatan DAP dalam beberapa salahlaku oleh pemimpin DAP sendiri menyebabkan ahli DAP mula hilang kepercayaan kepada parti itu,” ujarnya yang juga Penyelaras DUN Pandamaran.

Dalam masa yang sama, sikap Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok yang tidak boleh bekerja dalam satu pasukan bersama-sama pemimpin DAP lain telah menjadi buah mulut ahli DAP khasnya dan rakyat Selangor amnya.

“Bersama ini juga saya akan edarkan surat dari ahli DAP yang kecewa dengan kepimpinan DAP sendiri terutamanya di Selangor. Fakta-fakta yang dikemukakan dalam surat ini masih belum dijawab sehingga kini oleh kepimpinan DAP. Mereka malah cuba menutup salah laku ini dan lebih suka menonjolkan kelemahan PKR dan PAS.

Saya suka ingin mengingatkan kepada Rakyat Selangor bahawa jangan sekali lagi kita tertipu dengan lakonan pemimpin-pemimpin Pakatan ini terutamanya dari parti DAP. Lakonan-lakonan dari pemimpin DAP sudah tidak dapat ditutup lagi. Kami akan mendedahkan sedikit demi sedikit kepincangan dan sikap berpura-pura pemimpin DAP yang berselindung disebalik slogan accountability itu,” ujarnya lagi.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview