DAP: ‘Nasha tidak ada semangat Pakatan’

SHAH ALAM – Hubungan sesama komponen Pakatan Rakyat (PR) langsung tidak terjejas walaupun timbul kenyataan melaga-lagakan daripada bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa kelmarin, kononnya DAP berdoa untuk menjadikan Malaysia negara Kristian.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, “kita semua faham apa yang berlaku adalah unsur-unsur luar kawalan kita.”

Meskipun mengakui imej DAP tercalar dengan kenyataan Nasharudin yang mendapat liputan meluas media, beliau kecewa kerana Nasharudin sama sekali tidak pernah membangkitkan hal ini dalam perbincangan parti itu.

“Beliau seorang pemimpin yang tidak bersemangat Pakatan Rakyat.

“Beliau tidak pernah pun membangkitkan isu ini sama ada dalam majlis Pakatan Rakyat atau pun kepada pihak DAP.

“Beliau seolah-olah tidak faham bahawa parti DAP bukan parti berdasarkan agama. Majoriti ahli dalam DAP bukan Kristian. Jadi kalau majoriti bukan Kristian, tidak terfikir pun, parti DAP mungkin nak tubuhkan negara Kristian,” tambah beliau.

Semalam, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Samad juga mendakwa  Nasharudin mempunyai agenda politik tertentu sehingga tergamak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menggugat hubungan di antara parti komponen PR.

Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Ali pula menerusi satu kenyataan media menyelar pihak dalam Pas yang dakwanya berfikiran dangkal kerana “sebarang kenyataan yang bertentangan dengan kemahuan golongan parasit dalam Pas pada setiap ketika dikaitkan dengan Umno.”

“Adakah semua pendapat yang menyelar Pas sudah tergelincir daripada landasan perjuangan menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud juga didalangi oleh Umno,” soal beliau.

Selain mendakwa berlaku pergolakan dalaman di dalam Pas sendiri, Nasharudin turut menyentuh hubungan sesama parti yang memperlihatkan seolah-olah Pas sentiasa tunduk terhadap PKR dan DAP.

Beliau mengeluarkan kenyataan mengenai majlis kesyukuran DAP Sarawak berdoa untuk menjadikan Malaysia negara Kristian dan parti itu mendakwa ia adalah kenyataan peribadi Nasharudin.

Sumber: Sinar Harian

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview