Dewan: 50 Bas Beroperasi Tahun Depan, Tingkat Aktiviti Pelancongan Bandaraya Melaka

MELAKA, 18 Nov — Sebanyak 50 bas akan beroperasi di Bandaraya Melaka menjelang akhir tahun depan bagi menyediakan sistem pengangkutan awam terbaik untuk rakyat selain meningkatkan aktiviti pelancongan di kawasan tersebut, Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka diberitahu hari ini.

bas melakaExco Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa Melaka Datuk Lim Ban Hong berkata pada masa ini sebanyak 30 bas dengan 13 laluan disediakan anak syarikat kerajaan negeri iaitu Panorama Melaka Sdn Bhd di Bandaraya Melaka dan penambahan 20 bas akan dilakukan syarikat berkenaan secara berperingkat.

Beliau berkata dengan penambahan itu, purata masa menunggu dapat disingkatkan dri 20 hingga 30 minit buat masa ini, kepada kira-kira 15 minit.

“Kita juga merancang memperkenal konsep bas ‘hop on hop off’ bagi dua bas elektrik yang telah kita peroleh,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) yang ingin tahu mengenai tindakan kerajaan negeri untuk meningkatkan pengangkutan awam dan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Bandaraya Melaka.

Beliau berkata melalui konsep bas ‘hop on hop off’ itu, penumpang hanya perlu membeli sekeping tiket untuk menggunakan seberapa banyak bas itu dalam tempoh sehari dan konsep itu akan memudahan penumpang terutamanya pelancong untuk melawat kawasan sekitar Bandaraya Melaka yang menarik untuk dikunjungi.

Lim berkata permohonan untuk melaksanakan bas ‘hop on hop off’ menggunakan bas elektrik itu telah dibuat kepada pihak berkuasa berkaitan dan sedang menunggu kelulusan.

Menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) yang bertanya tentang kualiti disediakan perkhidmatan bas awam seluruh Melaka, Lim berkata pada masa ini Panorama Melaka menyediakan perkhidmatan terbaik melalui 60 bas seluruh negeri dan akan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatannya.

Sementara itu, Exco Kesihatan dan Pembangunan Sukan Melaka Datuk Ab Rahaman Ab Karim ketika menjawab soalan lisan Dr Md Khalid Kassim (PAS-Bukit Baru) yang bertanya tentang bilangan kes demam kepialu di Melaka berkata negeri ini bebas jangkitan demam kepialu sejak 2008.

Beliau berkata kes jangkitan terakhir demam kepialu terjadi pada 2007 terhadap tiga kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun dan hasil siasatan, jangkitan adalah dari punca tempatan. Tiada bakteria penyakit itu ditemui pada sampel air dan makanan mereka.

“Kita mengesan dua kes demam kepialu dalam kalangan warga asing iaitu pada 2013 dan 2014. Pada 2013, seorang kanak-kanak warga Myanmar berusia 12 tahun dikesan dan telah diberi rawatan di hospital manakala kes 2014 juga melibatkan warga Myanmar seorang lelaki berusia 26 tahun.

Menjawab soalan tambahan Dr Khalid yang bertanya mengenai langkah kerajaan negeri mencegah demam kepialu, Ab Rahaman berkata kerajaan negeri sentiasa memastikan persekitaran seluruh negeri bersih terutama premis menjual makanan minuman dan sehingga September lepas sebanyak 4,654 premis diperiksa dengan 178 diarah tutup.

Berita Berkaitan