Dewan: Gua Musang Wajar Dijadikan Pusat Pelancongan Geopark

KOTA BAHARU, 5 Nov — Anggota Dewan Undangan Negeri Galas Abdul Aziz Yusoff mencadangkan supaya Jajahan Gua Musang yang memiliki beberapa tarikan diisytiharkan sebagai pusat pelancongan Geopark terbaru negara.

taman-etnobotaniBeliau berkata Gua Musang memiliki tarikan unik seperti bunga Rafflesia, gua batu kapur berusia lebih 300 juta tahun dan kolam air panas semulajadi.

“Kelantan akan menjadi sebuah negeri yang setaraf dengan Langkawi di Kedah dan Melaka dari aspek pelancongan jika Gua Musang diisytiharkan sebagai Geopark,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri Datuk Mej (B) Md Anizam Abdul Rahman dalam jawapannya berkata cadangan dikemukakan Abdul Aziz itu adalah menarik yang dapat mengamit kedatangan lebih banyak pelancong.

Beliau berkata sebanyak 964,728 pelancong asing telah melawat Kelantan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.


© 2018 Malaysianview