Dr Halimah Ali Calon Pas Di DUN Seri Setia

PETALING JAYA, 15 Ogos — PAS menamakan bekas anggota Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada 8 Sept ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mengumumkan perkara itu berkata, Dr Halimah yang juga merupakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang dipilih kerana beliau merupakan seorang pemimpin yang berpengaruh di Selangor.

“Dr Halimah juga sudah beberapa kali hadapi pilihan raya dan menang selain beliau berpengalaman dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Ini sangat penting bagi wakil rakyat yang bukan kerajaan,” katanya di sini, malam ini.

Turut hadir pada majlis pengumuman calon itu adalah Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi dan bekas calon BN bagi PRK DUN Sungai Kandis Datuk Lokman Noor Adam.

Pada majlis itu juga, Abdul Hadi menyerahkan watikah pencalonan PAS kepada Dr Halimah, 58, yang juga merupakan Anggota Jawatankuasa PAS pusat.

Sementara itu, Dr Halimah menyeru pengundi di kawasan DUN itu untuk keluar mengundi pada 8 Sept ini bagi memperkuatkan suara pembangkang di DUN Selangor.

Beliau berkata langkah itu perlu supaya suara rakyat boleh diketengahkan di DUN negeri sekali gus mampu mendesak Kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji manifesto mereka seperti mana yang dituntut rakyat.

“Selain itu, sepanjang waktu berkempen 21 hari ini saya akan berusaha turun padang bertemu seramai mungkin pengundi di DUN Seri Setia ini bagi mendengar suara hati mereka sendiri.

Saya mahu fokus menyelesaikan masalah rakyat terutama membabitkan  masalah  sosioekonomi  sekiranya  saya diberi mandat sebagai ADUN di sini,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau yakin PAS mampu memenangi PRK itu sekiranya beliau mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk pengundi yang mengundi Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Penamaan calon bagi PRK itu akan berlangsung pada Sabtu ini.

PRK DUN Seri Setia merupakan PRK kedua diadakan selepas PRU ke-14 (PRU14), berikutan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas.

Pada PRU14, 9 Mei lepas, Shaharuddin daripada PKR mengalahkan tiga pencabarnya Datuk Yusoff HM Hanif daripada BN, Mohd Ghazali Daud (PAS) dan calon Bebas Dr S. Vignes dengan majoriti 19,372 undi.   

BN sebelum ini memutuskan untuk tidak bertanding di Seri Setia, sebaliknya memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calon pada PRK itu yang turut diadakan serentak dengan PRK DUN  Balakong.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview