Dr Halimah Sangkal Dakwaan Calon PH Dapat Sokongan Penyokong Senyap PAS

PETALING JAYA, 23 Ogos  — Calon PAS bagi pilihan raya kecil Seri Setia, Dr Halimah Ali, menyangkal dakwaan calon lawannya dari Pakatan Harapan (PH) Halimey Abu Bakar bahawa beliau mendapat sokongan daripada penyokong senyap PAS di kawasan itu.

Dr Halimah berkata ini mungkin berlaku sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tetapi oleh kerana PH sekarang menjadi kerajaan persekutuan dan kebanyakan kerajaan negeri, ini tidak lagi berlaku.

“Beliau (Halimey) tidak faham bahawa selepas PH mengamblih kuasa kuasa di peringkat negeri dan persekutuan, apa yang dikatakan pengundi senyap juga telah bangkit,” kata beliau kepada pemberita selepas mengagihkan daging korban kepada penduduk di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Halimey semalam bahawa beliau yakin memperoleh sokongan daripada sesetengah penyokong senyap PAS di kawasan Seri Setia.

Sementara itu, Dr Halimah berkata pilihan raya kecil merupakan peluang terbaik bagi pengundi untyuk mengingatkan gabungan PH mengenai janji pilihan raya dan obligasinya.

Pilihan raya kecil Seri Setia pada 8 Sept diadakan kematian penyandang kerusi kawasan itu  Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos kerana kanser usus. 

Pilihan raya kecil itu diadakan serentak dengan pilihan raya kecil di Balakong. Selangor menyaksikan tiga pilihan raya kecil sejak PRU14 dengan pilihan raya kecil yang pertama di Sungai Kandis diadakan pada 4 Ogos.  

Pilihan raya kecil Seri Setia merupakan pertandingan satu lawan satu antara Halimey, bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Dr Halimah,  bekas Exco kerajaan negeri Selangor dan bekas anggota dewan undangan negeri (ADUN) bagi Selat Klang.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview