Felcra Disaran Jadi Penyumbang Kepada Industri Keselamatan Makanan Negara – Najib

KUALA LUMPUR, 20 Dis: Felcra Berhad (Felcra) hari ini disaran untuk menjadi antara agensi yang menjadi penyumbang utama kepada industri keselamatan makanan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, beliau percaya Felcra mampu mencapai sasaran itu berdasarkan kepada kekuatan yang dimiliki agensi berkenaan menerusi prestasi yang ditunjukkan selama ini.

“Nilai import makanan negara meningkat tahun lepas melebihi RM45.5 bilion. Ia satu jumlah yang besar. Berdasarkan hakikat ini, maka saya ingin mengumumkan kerajaan mahu Felcra menjadi salah satu penyumbang utama kepada industri keselamatan makanan negara, khususnya dalam pengeluaran daging ayam halal dan tanaman.

“Saya percaya kekuatan yang ada pada Felcra boleh menyumbang secara ketara untuk mengurangkan import makanan dan membantu membekalkan makanan secara lebih sistematik dan efisyen,” ujarnya berucap merasmikan Majlis Sambutan 50 Tahun Felcra di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari tadi.

Najib turut menyaksikan perjanjian kolaborasi di antara Felcra dengan Sime Darby Plantation Sdn Bhd (Sime Darby), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

Turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Pengerusi Felcra, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview