‘Hantu Kapcai’ Rampas Carta No #1 Box Office – Norman KRU

Bermula 27 September lalu, filem “Hantu Kapcai” telah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia. Filem berunsurkan aksi komedi arahan Ghaz Abu Bakar ini telah berjaya menambat hati penonton sehingga mendapat kedudukan pertama bagi kutipan Box Office tertinggi minggu ini dan secara tidak langsung mengalahkan filem-filem Hollywood yang sedia ada.

Berikutan kejayaan filem tersebut, pihak OHBULAN! telah menghubungi Presiden Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim bagi mendapatkan kenyataan mengenai kejayaan terbesar filem naungannya.

Menurut Norman, terdapat beberapa formula yang membuatkan filem ini berjaya menambat hati penonton, antaranya adalah pemilihan barisan pelakon yang berbakat dan juga pemilihan jalan cerita yang berunsurkan sub budaya Mat Rempit yang dikatakan sangat dekat dengan kehidupan seharian penonton di Malaysia.

“Sebenarnya terdapat beberapa faktor yang membuatkan filem ini berjaya. Yang pertama, pemilihan pelakon yang berbakat dan ditambah pula dengan nama-nama pelakon yang sedang meningkat naik seperti Neelofa, Izzu Islam, Hairulazreen dan juga Riz Amin.”

“Faktor kedua adalah tema cerita ini yang berunsurkan sub budaya kumpulan Mat Rempit dan ditambah pula dengan elemen fantasi spiritual. Jadi, gabungan kedua-dua elemen ini membuatkan penonton suka dan mampu beri kesan yang mendalam kepada penonton itu sendiri,” komen Norman mengenai kejayaan filem Hantu Kapcai.

Mengulas lebih lanjut mengenai kejayaan tersebut, Norman akui pemilihan pelakon juga penting untuk menaikkan penjualan tiket sesuatu filem. Oleh itu, Norman menyifatkan pelaburannya setahun lalu menerusi pemilihan pelakon-pelakon baru adalah suatu yang baik dan ia merupakan sambutan di luar jangkaan.

Memandangkan filem bergenre aksi komedi ini mendapat sambutan hangat di hati penonton, jadi timbul pula persoalan adakah selepas ini pihak Showbiz akan meneruskan strategi yang sama dan mengekalkan elemen yang sedia ada untuk kesemua filem naungannya?

Lantas Norman menjawab, “Pihak kami sememangnya mengasingkan filem-filem untuk KRU Studio dan Showbiz. Di mana, untuk KRU Studio filemnya lebih bersifat komersial dan mengandungi unsur primental seperti filem ‘Magika’ dan ‘Merong Mahawangsa.’ Kedua-dua filem tersebut memberi risiko kepada pihak KRU Studio sendiri.”

“Manakala untuk Showbiz, filemnya lebih bersifat sederhana dan tidak terlalu serius. Seperti sebelum ini filem yang berjaya menambat hati penonton adalah filem ‘Cicakman.’ Jadi, kami akan terus menghasilkan filem bergenre aksi komedi begini dan kena lihat juga senario pasaran filem ketika itu,” ulas Noman lagi.

Pada masa yang sama, Norman turut akui meskipun budget filem ini tidak terlalu tinggi, tapi impaknya kepada penonton sangat besar dan inilah yang KRU Studio mahukan.-sumber-www.ohbulan.com

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview