hassan_karim_pkr_johorHassan, 64, yang juga seorang peguam mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang didakwa dilakukan dalam satu ceramah di tempat letak kereta di Jalan Betik 1, Kota Masai, Pasir Gudang, di sini kira-kira pukul 9 malam, 13 Februari lalu.

Pertuduhan tersebut dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membenarkan Hassan yang diwakili peguam, Jimmy Puah Wee Tse, diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Disember ini sebutan semula kes berkenaan.

Semalam, Hassan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Se­syen Shah Alam atas tiga pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut melalui laman sosial Twitter berhubung krisis Menteri Besar Se­langor, tahun lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa) di No. 40 Jalan Tengku Ampuan Zabedah A/9A Seksyen 9 di sini, kira-kira pukul 5 petang, 15 Ogos 2014 dan di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 3 petang, 10 Februari lalu.

Hassan juga mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan alternatif iaitu menggunakan kemudahan perkhidmatan aplikasi internet secara sedar telah membuat dan memulakan pernyataan yang jelik sifatnya di laman sosial Twitter @Hakarim51 berhubung perkara sama dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.