327531_620Faktor ini melonjakkan Honda sebagai peneraju jenama kereta terlaris di Malaysia bagi segmen SUV (HR-V dan CR-V), segmen C sedan (Civic), segmen B sedan (City), segmen D sedan (Accord) dan segmen kompak dengan model Jazz mereka.

Semua menampilkan resipi yang sama iaitu reka bentuk segar, kelengkapan yang canggih, enjin terkini dan dengan harga yang mampu milik berbanding dengan pesaing mereka.

Walaupun tiada lagi model terbaru akan dilancarkan sekurang-kurangnya sehingga Mac 2016, Honda Malaysia yakin jualan akan terus meningkat dan terkini syarikat tersebut yang mempunyai usaha sama dengan DRB-Hicom akan memberikan lebih fokus kepada pusat servis mereka.

Terdapat tiga varian HR-V iaitu Gred S yang berharga RM98,689.79; Gred E (RM108,026.50) & Gred V (RM118,228.50). Menurut Honda Malaysia, majoriti tempahan adalah pada Gred V. Harga ini akan berubah bermula Januari ini ekoran penyusutan nilai Ringgit.

Ketiga-tiga varian ini dikuasakan oleh enjin 1.8L i-VTEC SOHC yang menjana kuasa 140 kuasa kuda (hp) pada 6,500 rpm dan kuasa kilas 172 Nm pada 4,300 rpm. Enjinnya sama dengan Civic 1.8, tetapi dibezakan kuasa dan kilas untuk disesuaikan dengan sifatnya sebagai SUV. Beza Civic ialah kuasa maksimum 139 hp pada 6,500 rpm dan kuasa kilas 174 Nm pada 4,300 rpm.

HR-V dilengkapi dengan mod Sport. Umumnya orang ingat mod ini semata-mata untuk memecut. Sebenarnya, ia diguna bagi memotong. Jika anda terus-menerus dalam keadaan mod, kesannya boleh dilihat pada meter minyak.

Menggunakan gear transmisi CVT iaitu boleh memandu secara gear automatik dan manual, sesuai untuk pengguna di bandar yang berdepan dengan kesesakan tetapi hujung minggu mengembara ke kawasan pendalaman, boleh guna gear manual untuk keseronokan.

Terdapat pelbagai sistem keselamatan pasif dan aktif dalam HR-V seperti jika HR-V dibrek secara mengejut, Emergency Stop Signal (ESS) akan automatik berfungsi. Ia memberikan amaran pada kenderaan lain terutamanya yang berada di belakang bahawa berlakunya brek kecemasan ini.

Selain ESS, HR-V turut dilengkapi dengan Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA), selain memiliki enam beg udara untuk model ­spesifikasi tertinggi (hanya dua untuk varian pertengahan dan rendah) serta Isofix, selain ABS dan EBD. Terdapat juga Brek Parking Elektrik dan Auto Brake Hold.

HR-V adalah 4,294 mm panjang; 1,772 mm lebar; 1,605 mm tinggi dan jarak roda pula 2,610 mm. Ruang duduk penumpang belakang terasa luas. Kerusi belakangnya pula boleh diubah kepada empat kedudukan iaitu lipat habis, satu kerusi sahaja atau semua.

Honda Malaysia menawarkan Pakej Modulo dengan dua pilihan menarik bagi gaya luaran iaitu Sport Aero Package bernilai RM3,950 dan Tough Advance Package RM3,800. Selain itu, ada juga dua pakej aksesori dalaman iaitu Smart Utility berharga RM1,650 dan Urbane Utility pula ialah RM1,550.