Hutang Negara Masih Terkawal – Khaled

JOHOR BAHRU, 5 Julai – Merujuk kepada Laporan Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM): Menavigasi Perubahan, Bank Dunia telah menyifatkan hutang negara Malaysia masih terkawal dan tidak akan menjerumuskan kita ke dalam krisis, ujar Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin, Naib Presiden UMNO.

Tambahnya, Ketua Ekonomi Bank Dunia (Malaysia), Dr. Richard Record telah menerangkan bahawa Malaysia masih berisiko rendah kerana sebanyak 97.7% daripada jumlah hutang negara adalah dalam denominasi ringgit. Ini turut bermakna yang risiko dari segi pendedahan kepada tukaran asing adalah terhad.

Tambahan pula, hampir 70% daripada hutang negara adalah hutang jangka sederhana dengan tempoh matang melepasi 3 tahun.

“Malah, Bank Dunia mengiktiraf Malaysia sebagai ‘kisah kejayaan’ kerana mempunyai ekonomi yang kukuh dan bergerak ke arah pendapatan tinggi, walaupun hutang negara secara menyeluruh dan kasarnya dikatakan mencecah RM1 trilion.

Keseluruhan fakta dan faktor ini menunjukkan bahawa Kerajaan sebenarnya tidak memberikan gambaran yang tepat dan adil tentang kedudukan hutang negara dan risikonya.

Perkara ini boleh dinilai dari beberapa sudut, pertama, naratif hutang negara yang kerap dibentangkan oleh Menteri Kewangan tidak menggambarkan keadaan ekonomi negara yang menyeluruh.

Gambaran tentang hutang negara tanpa memasukkan unsur risiko rendah atau terhad ini adalah tidak lengkap dan boleh disifatkan tidak bertanggungjawab,” ujarnya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor.

Tambahnya, ia seolah-olah dengan sengaja ingin memburuk-burukkan imej Kerajaan Barisan Nasional yang sebelum ini telah memartabatkan prestasi ekonomi sehingga diiktiraf oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Sepatutnya, Kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan, membentangkan dengan lebih menyeluruh dan mendalam akan kedudukan hutang negara serta seteruk manakah perkara tersebut dengan mengulas tentang risiko-risiko kebankrapan secara objektif dan realistik. Bukannya dengan hanya memberikan nilai keseluruhan secara kasar yang boleh menimbulkan persepsi buruk, spekulasi dan situasi panik.

“Kedua, alasan hutang negara semakin meningkat hanyalah alasan bagi mengelak atau menangguhkan perlaksanaan beberapa manifesto  Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini, sudah kerap diulas bahawa manifesto PH adalah terlalu populis dan dibuat tanpa benar-benar mengambil kira kemampuan negara untuk melaksanakannya.

Maka, dengan terbitnya laporan Bank Dunia ini, yang membuktikan bahawa keadaan ekonomi Malaysia khususnya aspek kadar dan tanggungan hutang serta risiko-risiko terhadnya berada dalam keadaan baik dan terurus, maka sudah tidak ada alasan untuk Kerajaan PH berdolak dalih,” tambahnya.

Malangnya, bagi mengelak dari melunaskan janji-janji dalam manifesto mereka dalam tempoh 100 hari, PH memilih untuk terus menerus menyalahkan kadar hutang negara yang digembar-gemburkan secara tidak tepat.

Penukaran komitmen dengan menyatakan bahawa janji-janji PRU-14 Kerajaan hanya akan dilaksanakan apabila keadaan kewangan bertambah baik turut menunjukkan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan tidak merancang dengan baik dan gagal mengira kos perlaksanaan sebelum menawarkan manifesto populis tersebut.

Ketiga, alasan hutang negara yang tinggi sebagai justifikasi keperluan Tabung Harapan adalah tidak munasabah.

Kewujudan Tabung Harapan ini, sekalipun dibuat tanpa paksaan dan merupakan inisiatif rakyat sendiri, seolah-olah mencerminkan situasi hutang negara amat meruncing dan terlalu kritikal.

Ini sekali lagi merupakan satu tindakan yang kurang wajar. Kerana, sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, tidak sepatutnya Kerajaan membenar dan menyokong inisiatif yang boleh menakut-nakutkan sesetengah rakyat dengan gambaran ekonomi dan hutang yang tidak tepat.

“Adalah tidak keterlaluan jika inisiatif ini boleh dilihat sebagai satu jalan pintas dan mudah pihak Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan hasil.

Terakhir, saya menyeru Kerajaan baru ini supaya melaksanakan pentadbiran dengan penuh telus, amanah dan bertanggungjawab, terutamanya dalam mengelakkan pengeluaran kenyataan media yang tidak menyeluruh dan menjadikan kadar hutang negara yang tidak tepat sebagai alasan untuk mengelak pelaksanaan manifesto PRU-14.

Sebagai pihak pembangkang yang bertanggungjawab, Saya akan terus menjalankan tugas pemantauan (‘Check and Balance’) prestasi Kerajaan Pakatan Harapan demi kepentingan rakyat jelata,” ujarnya lagi.   

 

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview