Iktiraf Sijil UEC: Perhalusi Dengan Mendalam – Rais Yatim

NILAI, 10 Julai – Pengiktirafan ke atas Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC), yang kini diungkit kembali, memerlukan  penelitian yang amat mendalam di samping mengambil kira kepentingan kaum majoriti di negara ini, iaitu kaum Melayu.

Budayawan dan Pengamal Undang-Undang Tan Sri Rais Yatim berkata kerajaan juga perlu mengambil kira pandangan Majlis Raja-Raja, terhadap implikasi pengikitrafan UEC ini kepada Bahasa Melayu, agama  Islam, adat istiadat Melayu dan keutuhan konsep Perisytiharan Malaysia.

“Saya berpandangan bahawa UEC ini adalah sesuatu yang besar yang meliputi teras tamadun, teras pendidikan dan teras nilai kenegaraan. Oleh itu ia memerlukan penelitian yang amat mendalam terlebih dahulu.

“Ini bererti  bukan setakat nak diputus kabinet, tetapi ia perlu mendapat perhitungan daripada semua  cerdik pandai universiti, sosial dan pembangunan komuniti tanah air,” katanya kepada pemberita selepas  Syarahan Pembudayaan Budaya Tinggi Sebagai Tiang Seri Kepimpinan Belia di Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga perlu melihat pandangan itu dari sudut dari mana asalnya UEC ini yang dianjurkan oleh sekolah persendirian Cina, dan apa matlamat sebenarnya, bagaimana kedudukan Bahasa Melayu dan sistem pendidikan kenegaraan Malaysia pada masa hadapan.

“Di samping itu perlu juga kerajaan mengkaji apakah yang menyebabkan ia perlu diiktiraf. ​​​​​​​Adakah ini kehendak majoriti atau ini kehendak sekelumit pihak yang mempunyai atur galur berhubung dengan masa  hadapan pihak tertentu.

“Untuk itu saya kira UEC kita mesti halusi dan apa implikasinya sebab ini Malaysia dan ini bukan di Taiwan,” katanya.

Untuk makluman, sekolah persendirian Cina yang menganjurkan UEC tidak menerima dana daripada kerajaan, dan dalam skop pengajaran, bahasa Mandarin menjadi medium pengajaran dengan penekanan kepada subjek-subjek di bawah UEC dan hanya satu subjek Bahasa Melayu disertakan, sebagai memenuhi syarat ditetapkan kerajaan.  

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview