Iskandar Perlu Ubah Sikap, Jaga Disiplin – Chong Wei

KUALA LUMPUR, 1 Julai — Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menasihatkan  pemain perseorangan lelaki kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin agar mengubah sikap dan menjadi  contoh kepada pemain muda yang lain.

Chong Wei berkata Iskandar tidak boleh merokok semasa menyertai kejohanan seperti Piala Thomas, Bangkok, Thailand dan seharusnya sedar dengan kesan kelakuannya itu.

Semalam Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza  Zakaria  memaklumkan  bahawa Iskandar digugurkan daripada senarai pemain badminton ke Sukan Asia Indonesia pada Ogos ini selepas didapati merokok dan tidak hadir latihan.

“Disiplin adalah paling penting. Perkara yang saya belajar daripada Jurulatih Misbun (Datuk Misbun  Sidek) ialah jaga disiplin.  Jurulatih memang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemain yang ada masalah disiplin.

Dalam hal Iskandar, perkara ini bukan sekali beliau ditegur tetapi sudah banyak kali, tetapi dia mengambil mudah teguran itu. Pada pendapat saya, jurulatih dan BAM telah melakukan keputusan yang terbaik untuk  Iskandar,

“Semua orang tahu merokok akan menjejaskan kecergasan seseorang atlet. Iskandar bukan budak-budak berusia 14 tahun atau 17 tahun yang perlu dimarahi setiap hari. Beliau seharusnya memikirkan semula apa yang dia mahu dalam karier badminton,” kata Chong Wei ketika diminta mengulas mengenai  keputusan  BAM menggugurkan nama Iskandar dalam senarai ke Sukan Asia Indonesia.

Misbun berkata beliau mahu menghantar pemain ke Sukan Asia bersih daripada masalah disiplin dan berharap Iskandar berfikiran matang dalam menentu hala tuju sebagai pemain badminton.

“Masalah pemain yang merokok adalah luar bidang kuasa saya sebagai jurulatih. Pengguguran  Iskandar  itu tidak melibatkan keputusan pilih kasih atau perkauman. Apabila kita sudah meletakkan mandatori kepada  arahan, pemain itu perlu patuh.

Kalau  saya mahu seseorang pemain, beliau perlu memberikan komitmen dalam latihan, habiskan modul latihan yang diberikan, dengar arahan dan menjadi contoh kepada pemain-pemain yang muda daripadanya,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview