Isu Dana Asing: Sikap Membisu Pemimpin Pembangkang Timbulkan Tanda-Tanya

KUALA LUMPUR, 2 November 2016 – Sikap pemimpin pembangkang sehingga kini masih diam membisu mengenai dakwaan beberapa pihak termasuk parti pembangkang menerima dana asing daripada hartawan George Soros menimbulkan tanda-tanya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato’ Sohaimi Shahadan berkata, menurut laporan media, satu kumpulan asing dipengerusikan Soros telah membiayai beberapa organisasi tempatan dalam programnya mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.

sohaimiPerkara tersebut terbongkar apabila sekumpulan aktivis penggodam yang dikenali sebagai DC Leaks, berjaya menggodam dokumen-dokumen dari Open Society Foundation (OSF) milik hartawan itu dan yang dikaitkan menerima pembiayaan tersebut adalah Bersih, Merdeka Center dan Malaysiakini.

“Namun sikap mendiamkan diri itu pemimpin pembangkang seolah-olah tuduhan itu betul, malah desas-desus mengatakan parti pembangkang menerima dana asing untuk membiayai aktiviti politik mereka bukan perkara baru.

Bekas pegawai khas Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamed Razali Abdul Rahman sebelum ini pernah mendedahkan DAP menerima dana RM1.2 bilion dari Israel, namun sampai sekarang DAP masih belum menjawabnya,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media.

Tambahnya, Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Datuk Lokman Noor Adam juga mendedahkan beberapa pemimpin pembangkang pernah bertemu Soros di Washington DC untuk mendapatkan dana pilihan raya umum bagi tahun 2004.

“Sekiranya pemimpin pembangkang bertanggungjawab, mereka perlu tampil menafikan tuduhan itu. Sekiranya tidak betul, mereka perlu membuktikan tidak pernah menerima bantuan dana asing terutama daripada penyangak mata wang seperti Soros.

Ironisnya sekiranya isu itu dikaitkan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN), sampai lubang cacing mereka siasat dan macam-macam tuduhan yang dilemparkan tetapi bila kena batang hidung sendiri, masing-masing senyap seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Dalam isu ini, saya berpendapat kerajaan perlu bertindak tegas kepada parti terbabit kerana ia satu usaha terancang untuk menggulingkan kepimpinan negara dengan campur tangan asing,” ujarnya lagi.

Isu ini sudah diketahui sejak sekian lama, jadi kerajaan harus tegas mengenakan tindakan terhadap penerima dana ini yang jelas membenarkan campur tangan asing dalam negara.

Tindakan pembangkang yang berani melibatkan campur tangan asing dalam hal ehwal negara demi kepentingan politik mereka menunjukkan mereka begitu terdesak untuk menjatuhkan kerajaan sekarang dan boleh dianggap pengkhianat negara.

“Rakyat perlu mendesak agar pemimpin pembangkang tampil menafikan dakwaan DC Leaks itu, dan sekiranya masih berdegil, laporan polis perlu dibuat agar siasatan dapat dijalankan oleh pihak berkuasa,” tambahnya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview