Jadikan PRU 2008 Sebagai Iktibar Untuk Memperkuat Parti

KUALA LUMPUR, 9 Sept. – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta rakyat menjadikan Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 sebagai iktibar untuk dijadikan tauladan dalam membawa perubahan bukan saja kepada parti tetapi juga kepada masyarakat keseluruhannya.

Katanya, selama 66 tahun UMNO ditubuhkan dan 55 tahun bersama Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan maka tentunya ada kesilapan-kesilapan yang dilakukan.

“Barangkali apa yang kita lakukan ada kesilapan yang mesti kita ubah atau perbaiki dan kerana itulah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah membawa perubahan dalam parti, melaksanakan perubahan dalam kerajaan dan membuat perubahan dalam keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bintang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Katanya, apa yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri bukanlah sesuatu yang mudah dan berdepan dengan pelbagai cabaran tetapi dengan ikhlasan dan keyakinan maka  tentunya kejayaan mampu dicapai.

“Begitu juga apabila konsep 1Malaysia diketengahkan yang sebenarnya adalah untuk mengingatkan rakyat agar bersatu maka barulah negara ini dapat menjadi maju. Ini kerana kemajuan hanya akan dicapai apabila bangsa Malaysia bersatu dalam kepelbagaian iaitu pelbagai perbezaan yang ada dikongsi bersama dan saling memahami.

Dalam masa yang sama beliau turut menekankan anggota parti untuk memahami Perlembagaan UMNO dalam meneruskan perjuangan.

“Perlembagaan UMNO, Fasal 3 jelas untuk menegak dan mempertahankan agama Islam maka persepsi yang mengatakan bahawa parti ini tidak Islamik adalah tidak betul,” katanya.

Jelas beliau lagi, UMNO Wilayah Persekutuan khususnya Bahagian Bukit Bintang sewajarnya menjadi jendela kepada seluruh Malaysia.

“Bahagian ini patut menjadi cermin kepada seluruh negara yang sentiasa berganding tangan dan bersama-sama dalam menggerakkan BN untuk kejayaan berterusan.”

Tegasnya, setiap anggota UMNO perlu mendekatkan diri dengan pengundi tanpa melihat kepada perbezaan kaum di kawasan masing-masing.

“Saya merayu tuan-tuan dan puan-puan apabila balik ke cawangan maka semaklah pengundi, dekatkan diri kita dengan pengundi, walaupun bukan Melayu kerana setiap undi sangat penting untuk kita,” jelasnya.

Jumlah pengundi Melayu dalam kawasan Bukit Bintang adalah 7,570 orang dengan pengundi terbesar adalah kaum Cina iaitu 41, 449, sementara India 6,066 orang dan lain-lain adalah 930.

“Yang penting adalah pengundi ini dan saya berkeyakinan jika ahli-ahli UMNO berganding tangan, bekerjasama maka kita akan berjaya tetapi penggeraknya mesti UMNO kerana UMNO mempunyai struktur, mempunyai cara dan mempunyai gerak kerja untuk dilakukan.”

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview