Jangan Beretorik: Pemuda JB Gesa Kerajaan Negeri Segera Lantik Ahli Majlis MBJB – Hairi

JOHOR BAHRU, 12 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru hari ini menggesa kerajaan negeri untuk perlantikan Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru kerana Johor Bahru merupakan sebuah bandaraya antarabangsa yang berbudaya dan lestari, selari dengan visi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang mahu menjadikan kawasan ini sebagai bandaraya bertaraf metropolis.

Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah berkata, MBJB merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mempunyai pelbagai peranan dan fungsi untuk dilaksanakan iaitu sebagai pembekal perkhidmatan bandar, pihak berkuasa perancangan tempatan, pemangkin sosial budaya dan ekonomi, pengutip hasil cukai taksiran dan juga penguasa perbandaran.

Matlamat MBJB yang utama adalah mensejahterakan rakyat dan dengan itu, wujudnya jawatan Ahli Majlis terdiri daripada individu dilantik yang berperanan sebagai menghubungkan masyarakat dengan kerajaan dalam merealisasikan matlamat mensejahterakan rakyat. 

“Ahli Majlis juga perlu bersama-sama masyarakat dan mengutip isu-isu dan permasalahan masyarakat bagi tindakan selanjutnya untuk diselesaikan secara menyeluruh.

Kelopongan jawatan Ahli Majlis kini di tahap merisaukan setelah lebih 60 hari tertubuhnya kerajaan. Walhal sebelum ini hanya memerlukan maksimum selama 14 hari sahaja untuk melantik Ahli Majlis. 

Kelopongan ini membuat masyarakat tertanya-tanya bagaimana hendak dikongsikan idea dan cadangan tentang sebarang penyelesaian sesuatu isu di kawasan mereka? Apakah begitu sukar untuk melantik individu yang sememangnya layak menjadi Ahli Majlis? 

Atau kerajaan kini mementingkan konflik politik dalaman dari memikirkan keperluan masyarakat? Malaysia Baharu kini sepatutnya menjadi cerminan yang mengutamakan tanggungjawab terhadap masyarakat bukan terus berpolitik dan beretorik lagi,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Beliau turut mempersoalkan ke mana hilangnya slogan atau momokan mereka (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Johor) mengenai kesejahteraan dan kebajikan rakyat apabila jawatan yang dekat dengan komuniti dan rakyat setempat pun masih tidak mampu diselesaikan dalam tempoh ini?

“Usah dikorek soal kesalahan, hutang negara mahupun sibuk membatalkan projek mega, sedangkan isu di peringkat akar umbi, isu yang begitu dekat dengan rakyat ini masih terkial-kial untuk diselesaikan.

Justeru itu kami Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru menggesa kerajaan berhenti bermain politik dan menyegerakan perlantikan Ahli Majlis MBJB bagi meneruskan matlamat mensejahterakan Bandaraya Johor Bahru.

Bermuafakatlah, bukan sekadar menjanjikan HARAPAN palsu kepada rakyat,” tambahnya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview