Jangan Jadi Pencatur Politik, Bantu Zahid Pulihkan Semula Parti – Pemuda Selangor

SHAH ALAM, 12 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Selangor hari ini menafikan terlibat dalam gerakan untuk mendesak Tengku Razaleigh bertanding untuk jawatan presiden UMNO dan turut menegaskan pihak lain tidak perlulah untuk membuat kenyataan bagi pihak Pemuda UMNO Selangor.

Ketuanya, Zainuri Zakaria berkata,Tengku Razaleigh sendiri sudah menyatakan hasrat untuk tidak bertanding dan mahu melihat parti bersatu.

“Usahlah ada diantara kita yang terlalu sibuk membuaikan calon mana yang perlu diketengahkan yang boleh menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan kita.

“Kita perlu insaf bahawa parti dalam keadaan yang sangat getir dan fokus utama adalah membangkitkan semula parti dengan mengutamakan penyatuan dalaman.

“Oleh itu, bagi pemimpin-pemimpin muda terutama dalam EXCO Pemuda dan Puteri, jangan cuba hendak menjadi pencatur sehingga memecah-belahkan parti,” jelasnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Ujar Zainuri, ahli-ahli pemuda dan puteri janganlah berbuat sesuatu yang membebankan lagi parti kerana ketika ini, UMNO sudah mempunyai nakhoda yang diberikan amanah untuk memikul tugas-tugas Presiden parti iaitu Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tegasnya, bantulah Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam memulihkan usaha parti ke arah kestabilan serta kemantapan barisan yang perlu dicapai.

“Dalam usaha mencapai matlamat pengukuhan semula parti, UMNO perlukan gabungan pemimpin baru dan lama, janganlah yang terlalu lama. Apatah lagi yang lama tidak aktif dalam parti.

“Bantulah beliau kerana nakhoda baharu kita ini amat memerlukan sokongan yang kuat dari akar umbi apatah lagi dalam keadaan sekarang.

“Belajarlah dari pemimpin berpengalaman sebagai panduan dan iktibar dalam mempersiapkan diri masing-masing untuk membantu parti UMNO yang kini dalam keadaan perit dan penuh mencabar,”katanya.

Sementara itu, Pemuda UMNO Selangor meminta agar syarat-syarat untuk bertanding sebagai contoh perlu menjadi ahli selama tiga tahun sebagai syarat layak bertanding dimansuhkan.

“Pemuda UMNO Selangor berpandangan bahawa sekarang ini adalah proses untuk menyuburkan demokrasi di dalam UMNO Kita patut buka peluang kepada sesiapa yg mahu berkhidmat kepada parti untuk terus memberi khidmat tanpa sekatan.

“Syarat-syarat yang menyekat mana-mana ahli parti yang mahu berkhidmat kepada parti sebagai contoh syarat menjadi ahli sekurang-kurangnya 3 tahun juga patut ditarik balik, kerana ia dilihat menyekat ahli UMNO yang benar-benar mahu berkhidmat kepada parti tetapi masih muda umurnya sebagai ahli UMNO,”jelasnya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview