Jangan Terpengaruh Adu-Domba Pecah-Belah Pemilihan UMNO – Hairi

JOHOR BAHRU, 17 Jun- Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Johor Bahru, Mohd Hairi Md Shah hari ini mengajak ahli UMNO khususnya di Johor untuk menolak politik adu domba yang sedang dijalankan oleh bekas-bekas ahli UMNO yang kini telah pun bersama parti lawan khususnya PPBM.

Ujarnya, adakah mereka ini masih ‘sayangkan’ UMNO sehingga menjadi agen untuk melobi calon-calon tertentu untuk bertanding jawatan tertinggi di peringkat UMNO bahagian sehinggalah ke sayap-sayap pada pemilihan parti yang akan dijalankan di seluruh Negara 23 Jun dan 30 Jun ini.

“Saya hairan, mereka masih sayangkan UMNO atau sengaja melobi calon-calon tertentu pilihan mereka untuk menang di bahagian, dan tidak mustahil jika ‘calon mereka’ menang, kemungkinan hasrat mereka untuk menarik ahli UMNO menyertai parti mereka akan lebih mudah di masa hadapan.

Buat mereka di luar sana, bagilah peluang untuk kami bertanding adik-beradik untuk menentukan hala tuju perjuangan parti keramat ini, kami menghormati keputusan rakyat yang tidak bersama BN dan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu namun kami masih berkeyakinan bahawa UMNO masih relevan untuk terus berjuang membela nasib rakyat khususnya orang Melayu di dalam Negara ini,” ujarnya yang juga merupakan calon yang bertanding Jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru, 23 Jun ini.

Tambahnya, orang UMNO perlu segera memperkukuhkan parti agar menjadi satu alternatif untuk rakyat.

“Apapun tindakan yang diambil semestinya melalui muafakat antara kita. Tindakan tergopoh-gopoh akan merugikan kita.

“Berbeza pendirian politik bukannya satu kesalahan dan tidak semestinya bermusuh. Kita amalkan politik matang demi negara dan rakyat Malaysia tercinta,” tambahnya lagi.

 

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview