Jawatankuasa Dewan Perlu Pantau Kerja Baik Pulih Parlimen – Shahrir

KUALA LUMPUR, 3 Nov — Seorang anggota Parlimen penyokong kerajaan hari ini menggesa Jawatankuasa Dewan memainkan peranan lebih besar dalam perancangan dan pemantauan kerja-kerja penambahbaikan di bangunan Parlimen.

Shahrir-Abdul-Samad-Tan Sri Shahrir Abdul Samad (BN-Johor Baharu) berkata pada masa ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) dilihat lebih berperanan dalam melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan itu, malah dikatakan tanpa mengambil kira input daripada anggota jawatankuasa itu serta keperluan warga Parlimen, termasuk wakil rakyat yang akan menggunakan kemudahan itu kelak.

“Saya lihat, seolah-olah Jawatankuasa Dewan tidak terlibat secara langsung dalam soal perancangan apatah lagi soal pemantauan kepada kerja-kerja penambahbaikan fizikal dewan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 di Dewan Rakyat, hari ini.

Shahrir turut mempersoal berhubung ketetapan bahawa bangunan baharu yang yang bakal menempatkan pejabat anggota Parlimen tidak boleh lebih tinggi daripada blok utama yang menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, atas alasan perkiraan status warisan bangunan Parlimen.

“Bagaimana kedudukan sebuah bangunan yang lebih tinggi daripada blok utama, boleh mengacau atau mencemar warisan Parlimen itu sendiri sedangkan Menara Parlimen sudahpun lebih tinggi daripada bahagian utama itu?

“Di sini saya lihat, JKR mempunyai kelebihan dari segi nak menentukan dan memantau proses pembangunan ini, dan jugak pihak Jabatan Warisan Negara juga ada pengaruh melebihi Jawatankuasa Dewan atau penggunanya,” kata beliau.

Sehubungan itu, Shahrir berkata adalah wajar jawatankuasa itu yang dipengerusikan sendiri Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk memainkan lebih peranan bagi memastikan proses membaik pulih bangunan dapat mengambil kira pendapat warga Parlimen.

Shahrir berkata turut perlu diberi keutamaan dalam penambahbaikan yang dilaksanakan ialah menyediakan pusat media yang lengkap bagi kemudahan wartawan, serta perpustakaan bagi memastikan artifak dan arkib serta penyata rasmi mesyuarat terurus.

Perkara itu turut disokong beberapa anggota Parlimen pembangkang termasuk Anthony Loke (DAP-Seremban), Mohamed Hanipa Maidin (Amanah-Sepang) dan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota).

“Kalau kita katakan harus ada dewan yang boleh kita banggakan, tentunya yang nak kita banggakan ialah mereka yang benar-benar menggunakan dewan yang mulia ini,” kata Shahrir.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview