Jawatankuasa Khas Ditubuh Untuk Tangani Ahli Sabotaj dan Khianat Parti

Kuala Lumpur, 19 Oktober: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah mengambil resolusi untuk mewujudkan satu Jawatankuasa Khas bagi memantau dan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana anggota parti yang mengkhiant atau mensabotaj terhadap UMNO dan calon Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memaklumkan bahawa Jawatankuasa Khas tersebut akan dianggotai oleh wakil-wakil yang tidak berkepentingan daripada Majlis Tertinggi, Jawatankuasa Pengurusan dan Lembaga Disiplin UMNO.

“MT setuju untuk mewujudkan jawatankuasa ini sebagai cerminan hasrat parti agar tindakan tegas dapat diambil dengan segera terhadap sesiapa yang mengambil sebarang tindakan yang boleh merosakkan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn petang ini.

“Kita juga setuju untuk lantik seorang anggota di tiap-tiap bahagian yang akan memberi laporan kepada jawatankuasa pemantau untuk disalurkan kepada jawatankuasa tersebut, di samping laporan secara terus kepada ibu pejabat dan secara online boleh dihantar.

“Kita juga bersetuju supaya definasi sabotaj dan khianati itu dihuraikan supaya semua orang jelas dan tahu apakah tindakan-tindakan yang boleh disabitkan dengan kesalahan yang boleh dikaitkan dengan fasal tersebut,” katanya lagi.

Jelasnya, keputusan tersebut dibuat selaras dengan Fasal 10.15 dibaca bersama Fasal 20.3 Perlembagaan UMNO, maka majlis tertinggi setuju untuk mewujudkan jawatankuasa khas ini.

Fasal 10.15 menyebut; Mengambil sebarang langkah selain daripada perkara-perkara yang tersebut di atas bagi kesempurnaan perjalanan parti sementara Fasal 20.3 ialah Majlis Tertinggi boleh menurunkan kuasa disiplin kepada mana-mana Jawatankuasa di peringkat Perhubungan Negeri atau Bahagian.

Tambah beliau, Jawatankuasa Khas ini akan dipengerusikan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.

Dalam masa yang sama, Najib turut memaklumkan berkaitan persiapan Perhimpunan Agung UMNO yang berjalan lancar dengan tiga usul diluluskan iaitu, ucapan dasar Presiden, ekonomi dan ususl agama dan pendidikan.

Perhimpunan Agung UMNO 2012 akan berlangsung selama lima hari bermula 27 November hingga 1 Disember ini.

Menjawab soalan berkaitan termetrainya perjanjian damai Bangsamoro di Selatan Filipina, beliau memberitahu bahawa perjanjian ini adalah hasil sumbangan Malaysia yang secara konsisten telah kita dilakukan sejak 2001dan pasukan fasilitator ditempatkan pada 2004.

“Banyak lagi yang kita telah lakukan untuk membawa kepada rundingan yang telah menghasilkan perjanjian dan ditandatangani di Manila baru-baru ini.”

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview