Jawatankuasa Khas Tangani Penglibatan Pelajar Dalam Jenayah

JOHOR BAHRU, 10 Ogos — Kementerian Pendidikan Tinggi mempunyai jawatankuasa khas untuk menangani awal penglibatan pelajar institusi pengajian tinggi awam dalam aktiviti jenayah termasuk militan.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata , jawatankuasa yang di bawah kendalian Ketua Pengarah dan Ketua Setiausaha kementerian akan mengadakan perjumpaan dengan pihak universiti sekerap yang mungkin bagi memberi penerangan tentang kegiatan terbabit.

Katanya, kementerian juga sentiasa berhubung dengan pihak berkuatkuasa bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai aktiviti berkenaan. Kita sentiasa berjumpa pihak universiti untuk berbincang mengenai persiapan yang perlu dilakukan di peringkat universiti, supaya ia tidak berkembang.

“Pada masa sama, kita cuba menanganinya di peringkat lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini bagi meninjau kerjasama industri dan akademia, hari ini.

Beliau ditanya sama ada kementerian pernah menerima laporan mengenai kegiatan gangsterism, kongsi gelap di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi awam setakat ini, serta percubaan pihak tertentu untuk merekrut pelajar dalam aktiviti militan.

Menurut Idris, pihaknya sentiasa memberi peringatan kepada pensyarah dan naib canselor universiti agar lebih peka dan bersiap sedia menangani isu itu.

Berita Berkaitan