JDT Kekal Di Persada Liga Super

KUALA LUMPUR, 20 Jun  — Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus melebarkan jurang mata dengan pencabar terdekat, Perak selepas mengatasi Terengganu FC (TFC) 2-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan terus memimpin carta Liga Super dengan kutipan 41 mata berbanding Perak yang mengumpul 28 mata selepas 16 perlawanan liga setakat ini.

Pada aksi di Larkin, dua gol JDT dijaringkan oleh dua pemain import iaitu Marcos Antonio seawal minit ketujuh perlawanan sebelum Gonzalo Cabrera menjaringkan gol kedua pada minit ke-34.

Terdahulu, JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanannya, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali pada minit ke-72 kerana mengasari pemain pelawat.

Kedah pula kekal di tangga keempat liga walaupun menang tipis 3-2 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Tiga gol skuad Lang Merah dijaringkan oleh Andik Vermansah pada minit ke-13, Muhd Akhyar Abdul Rashid (minit ke-25) dan Paulo Rangel pada minit ke-32 manakala dua gol Kuala Lumpur disumbangkan oleh Guilherme de Paula pada minit ke-44 dan Muhamad Syafwan Syahlan pada minit ke-87.

Dalam saingan Liga Perdana, Sabah bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan kelab MIFA 3-2 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Pada aksi berkenaan, MIFA selesa mendahului 2-0 hasil jaringan Kpah Sean Sherman pada minit ke-16 dan minit ke-33 sebelum Sabah bangkit meledak tiga gol menerusi Rawilson Batuil pada minit ke-36, Hamran Peter (minit ke-49) dan Hector Omar Ramos Lebron pada minit ke-83.

Terengganu FC II (TFC II) turut meraih tiga mata di laman sendiri selepas menang tipis 1-0 ke atas UKM FC hasil jaringan Andrew Anderson pada minit ke-60 pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Terdahulu, kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain tuan rumah, Mohd Hassan Basri dan pemain UKM FC, Muhammad Alif Jamaluddin dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, S. Logeswaran kerana terlibat dalam pergaduhan pada minit ke-70.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview