Jenazah ADUN Sg Kandis Shuhaimi Shafiei Selamat Dikebumi

SHAH ALAM, 2 Julai — Jenazah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini, kira-kira 4.30 petang.

Jenazah tiba di tanah perkuburan berkenaan pada 4 petang diiringi kira-kira 1,000 orang terdiri daripada anggota keluarga, sahabat handai dan rakan seperjuangan Allahyarham daripada Pakatan Harapan.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,  Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari,

Mat Shuhaimi, 50, meninggal dunia pada kira-kira 11.10 pagi ini di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat kanser limfoma.

Terdahulu, jenazah dimandikan dan disolatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Isteri kedua Mat Shuhaimi, Rohani Satar, 42, ketika ditemui pemberita berkata suaminya hanya mengetahui penyakit kanser yang dihidapi berada pada tahap empat, kira-kira sebulan lalu.

Rohani berkata Allahyarham mengalami sakit yang teruk dalam tempoh sebulan sebelum dijangkiti kuman pada paru-paru seminggu lalu.

“Ketika disahkan jangkitan pada paru-paru, suami ada cuba melakukan rawatan dan sepanjang tempoh itu keadaannya lemah (diikuti) demam dan batuk.

“Saya reda dengan pemergian suami dan berharap ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin ketika ditemui selepas pengebumian  berkata  kematian Mat Shuhaimi merupakan satu kehilangan besar kepada rakyat  kerana Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang memperjuangkan keadilan.

“Saya kenal beliau secara peribadi, beliau banyak membantu saya semasa menjadi setiausaha politik menteri besar Selangor. Beliau telah menjalankan tugas dengan penuh amanah dan integriti… kehilangan ini amat saya rasai secara peribadi,” katanya.

Menurut Mohamed Azmin, beliau sempat menziarahi Mat Shuhaimi di hospital sekembalinya beliau daripada mengerjakan umrah pada Ramadan lepas.

Walaupun badannya lemah, Mohamed Azmin berkata semangat Mat Shuhaimi tetap kuat dan Allahyarham mengingatkan beliau serta pimpinan PKR dan Pakatan Harapan untuk meneruskan perjuangan.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview