Johor Akan Sekat Pelabur Tinggalkan Impak Negatif Kepada Alam Sekitar

JOHOR BAHRU, 29 Jun — Kerajaan Johor hari ini memberi amaran keras akan menyekat  pelabur teknologi hijau asing dan tempatan yang didapati  meninggalkan kesan negatif  terhadap  persekitaran negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri Jimmy Puah Wee Tse berkata langkah itu susulan ada pelabur asing yang didapati berselindung di sebalik teknologi hijau namun sebenarnya berhasrat menjadikan Johor tempat pembuangan sisa pepejal. 

“Johor mengalu-alukan pelaburan dari mana-mana negara tetapi pelaburan yang akan memberi kesan negatif terutamanya kepada alam sekitar, kerajaan tidak akan terima. 

“Kalau mereka (pelabur) mahu bangun benda jejas alam sekitar tidak perlu cari saya. Kalau betul-betul sah dan ada membuat teknologi hijau, kita (kerajaan Johor) boleh pertimbangkan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama anak-anak yatim sekitar Johor Bahru anjuran Hotel Grand Paragon di sini hari ini.

Beliau juga berkata pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Alam Sekitar bagi memperketat penguatkuasaan.

“Kita  akan buat siasatan dan semakan, mana-mana syarikat yang langgar syarat yang dahulunya beritahu mereka buat teknologi hijau tetapi sebaliknya kita akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata langkah itu perlu dalam usaha kerajaan negeri melindungi sumber alam Johor daripada terus terdedah kepada pencemaran.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview