Johor Bakal Terima Pelaburan Bernilai USD400 Juta Dari China

ISKANDAR PUTERI, 13 Ogos – Johor bakal menerima pelaburan baharu bernilai USD400 juta menerusi dua syarikat dari China kata Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

“Baru-baru ini saya didatangi beberapa syarikat besar dari China, disamping itu, saya juga mempunyai hubungan baik dengan pedagang China yang datang dan berjumpa.

“Sebuah kilang benang akan didirikan di Senai dengan pelaburan bernilai USD200 juta dan kilang tayar di Segamat juga dengan nilai USD200 juta,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini hari ini bagi menjawab soalan tambahan Datuk Ir Hasni Mohammad (BN-Benut) yang ingin tahu misi kerajaan Johor untuk masa depan negeri ini.

Osman berkata selain China, beberapa syarikat dari Perancis yang berpangkalan di Singapura, turut menyatakan minat mereka untuk melabur di negeri ini.

“Saya didatangi beberapa syarikat daripada Perancis di mana ada 10 syarikat berpangkalan di Singapura. Oleh kerana ada beberapa perkara mungkin tidak memberikan keselesaan maka, syarikat besar ini akan berpindah di Johor.

“Sebelum ini syarikat besar ini juga sudah melabur USD250 juta, di sini, insya-Allah, dalam tempoh terdekat, syarikat ini sedang mengenal pasti di mana lokasi untuk dibangunkan kilang,” katanya.

Osman menegaskan usaha menarik pelaburan asing merupakan salah satu kaedah yang ingin kerajaan negeri realisasikan bagi mengumpul wang untuk dimasukkan dalam hasil kewangan negeri Johor.

Beliau berkata melihat kepada pengaliran wang keluar yang banyak, kerajaan negeri juga berhasrat meningkatkan bidang pertanian dan penternakan di negeri ini yang akan diumumkan pada pelancaran pelan pembangunan kerajaan negeri, Sabtu ini.

Katanya kerajaan negeri mempunyai perancangan hasil pertemuan dengan beberapa pakar dari Ukraine, baru-baru ini.

“Saya lihat banyak wang yang mengalir keluar. Kita import daging, sayur-sayuran dan buah-buahan yang mengalirkan banyak wang ke negara lain sedangkan negeri kita subur dan cukup kemudahan.

 

BERNAMA

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview