Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, sebanyak 25 Smart Line telah diperkenalkan sejak 2011 sebagai projek perintis Projek Kluster Ternakan Kupang Negeri Johor.

image-1Katanya, teknologi ternakan kupang dari Norway itu dibawa masuk dengan melibatkan kos sebanyak RM3.6 juta menerusi dana dari Kementerian Perindustrian dan Asas Tani.

“Smart Line berupaya meningkatkan pengeluaran kupang sehingga 20 tan metrik sekali tuai berbanding hanya lima tan metrik bagi kaedah konvensional sedia ada.

“Buat waktu ini kita memiliki sebanyak 25 Smart Line, namun saya berharap kerajaan pusat dapat memperluas lagi penggunaan teknologi tersebut bagi menampung permintaan bekalan kupang dalam negara selain memberi lebih manfaat kepada golongan nelayan terbabit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan kerjanya ke tapak Projek Kluster Ternakan Kupang Negeri Johor di Kampung Pasir Gudang Baru di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Perikanan Negeri Johor, Munir Mohd. Nawi; Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Johor, Mohd. Mohid Hamzah dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd. Aziz.

Menurut Ismail, penggunaan teknologi tersebut juga dapat membantu merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk mengeluarkan hasil laut sebanyak 27,842 tan metrik setahun.

“Kita bukan sahaja berhasrat membantu meningkatkan pendapatan nelayan melalui pelbagai aktiviti sampingan lain, tetapi kita juga mahu menjadikan nelayan sebagai satu kerjaya pilihan generasi muda.

“Ini kerana pekerjaan sebagai nelayan adalah satu pekerjaan yang penting dan dapat memberi pulangan setimpal kepada mereka yang bijak mengambil peluang,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa mencari pelbagai program baharu yang boleh dilaksanakan dalam usaha meningkatkan taraf hidup golongan nelayan.