Malaysianview

Johor Mahu Miliki Kepentingan Dalam Setiap Projek Mega Dalam Negeri- Khaled

JOHOR BAHRU, 5 Feb — Kerajaan Johor akan memastikan mempunyai kepentingan dalam setiap projek mega yang dibangunkan di negeri berkenaan bagi menambah sumber pendapatan kerajaan negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata jumlah pendapatan kerajaan negeri tidak begitu besar jika dibandingkan dengan kerajaan pusat dan perkara itu wajar dilakukan agar setiap pembangunan turut dinikmati rakyat.

“Kita berpendapat, jika ada projek besar di negeri ini, ia patut disertai  kerajaan negeri dan ada kepentingan dalam projek berkenaan. Kita tidak mahu dasar penswastaan suatu ketika dahulu yang menjadi trend, berulang di mana kerajaan negeri langsung tidak mendapat peluang.

“Dahulu, semasa Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Pasir Gudang diswastakan, mengapa kerajaan negeri langsung tidak diberi kepentingan dan peluang untuk memiliki saham?,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Gerakan Johor, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata usaha memiliki kepentingan juga dilihat dapat menjamin kemajuan Johor sekaligus menjadikan negeri ini sebagai negeri termaju di Malaysia.

“Dengan cara ini, pertumbuhan ekonomi terus wujud di kawasan kita, dan semakin banyak peluang ekonomi dan perniagaan yang terbuka kepada semua rakyat  di Johor sama ada yang bersaiz kecil mahupun besar.

“Kalau kita tidak buat, siapa yang akan merancang untuk Johor? Dahulu, langsung tidak ada usaha membangunkan mana-mana wilayah, kalau ada pun tumpuan hanya diberi kepada Langkawi di mana berbilion ringgit disalurkan kepada Langkawi yang sehingga kini kita tidak melihat sumbangannya kepada pertumbuhan
ekonomi negara,” katanya.

Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri juga akan terus merangka pelbagai rancangan dan dasar dalam usaha memastikan Johor menjadi pilihan di Asia untuk pelbagai syarikat membuka perniagaan, sekaligus membawa masuk pelaburan yang melangkaui bidang pembuatan dan hartanah di Iskandar Malaysia.

Berita Berkaitan