Johor Sentiasa Proaktif Banteras Judi Haram, Galak PBT Ambil Tindakan -EXCO

ISKANDAR PUTERI, 12 Ogos — Kerajaan negeri sentiasa proaktif dalam membanteras aktiviti judi haram dengan menggalakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik premis mengikut bidang kuasa masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Johor Tan Hong Pin  berkata komitmen itu dapat dibuktikan melalui penglibatan empat PBT setakat ini.

Kesemua PBT itu ialah Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Majlis Daerah Pontian (MDP) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

Katanya, langkah penguatkuasaan itu perlu dilakukan kerana pihaknya tidak boleh bergantung kepada anggota penguatkuasaan di peringkat pusat semata-mata dalam membanteras sepenuhnya aktiviti berkenaan.

“Memang kita (PBT) ada kekangan anggota namun, saya diberitahu bahawa MPK sebagai contoh telah secara proaktif menguatkuasakan Undang-undang 49 Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Industri MPK 2017 melalui Op Casino Royale yang telah berhasil mengeluarkan sebanyak 2,665 kompaun bernilai RM2.27 juta melalui 232 operasi yang dilakukan terhadap pemilik-pemilik premis.

​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​“Selain itu, op itu juga berjaya menyita pelbagai peralatan seperti komputer riba, CPU, mesin simulator dan peranti tab bernilai RM700,000 di samping membuka 12 kertas siasatan untuk diproses di mahkamah untuk pendakwaan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Cheo Yee How (PH-Perling) yang bertanyakan bilangan kes judi haram yang berjaya dituduh dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa sejak awal tahun ini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Yeo Tung Siong (PH-Pekan Nenas) sama ada kerajaan negeri akan mengehadkan operasi perniagaan-perniagaan itu, Tan berkata pihaknya bersedia meneliti cadangan berkenaan namun perlu mengambil kira bidang kuasa yang ada pada PBT.

“Kita tidak akan berkompromi tetapi harus bertindak di bawah peruntukan undang-undang PBT. Pada masa sama, kita memohon kepada masyarakat agar menyalurkan maklumat kepada polis dan PBT sekiranya terdapat aktiviti perjudian di kawasan-kawasan masing-masing supaya kita dapat membanteras secara berkesan,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview