Johor VW Swap Meet Camp 2018 Tarik 2,000 Pengunjung

KOTA TINGGI, 4 Ogos — Program Johor VW Swap Meet Camp 2018 yang menghimpunkan 320 pemilik kereta klasik Volkswagen Beetle dan Kombi di pantai Jason Bay, Sedili di sini, berjaya menarik kehadiran kira-kira 2,000 pengunjung, selepas dua hari program berkenaan berlangsung hari ini.

Program julung kali diadakan selama tiga hari bermula semalam itu disertai pemilik tempatan serta dari Asia Tenggara melibatkan Indonesia, Kemboja, Thailand, Singapura, Vietnam dan Brunei.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain berkata berdasarkan sambutan memberangsangkan, pihaknya merancang menjadikan himpunan itu sebagai acara tahunan sekali gus mempromosi Kota Tinggi khususnya Sedili sebagai kawasan pelancongan.

“Melihat kepada sambutan meriah daripada peserta dan penduduk sekitar sejak semalam dan hari ini, program seumpama ini bukan sahaja menarik minat pencinta kereta klasik itu bahkan orang ramai. Justeru, kita merancang menjadikannya acara tahunan pada Ogos tahun depan,” katanya ketika ditemui pemberita pada program berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Tourism Johor Abdul Malik Ismail, Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi Saipol Rahman Amat serta Presiden Kelab VW Classickers Johor Bahru Muhd Syahmi Abdullah.

Rasman berkata acara santai berkonsepkan perkhemahan itu adalah anjuran Pejabat ADUN Sedili bersama Kelab VW Classickers Johor Bahru dan Kota Tinggi, dengan kerjasama Tourism Johor, Kejora, Pejabat Daerah Kota Tinggi, Majlis Daerah Kota Tinggi, Majlis Belia Felda Malaysia serta Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi.

Beliau berkata menerusi program itu, pihaknya mengetengahkan budaya masyarakat Johor, khasnya Kota Tinggi termasuk persembahan tarian zapin dan ?rewang ambeng’ dengan penyediaan juadah itu dilakukan peserta dan penduduk setempat yang dimakan bersama-sama dalam dulang.

Beliau berkata pelbagai aktiviti turut diadakan seperti pertunjukan ‘Vespa gerak lambat’, sukaneka dan pertandingan mewarna, pertandingan ‘Best Swap Meet Camp’ dan acara ‘car boot sale’ yang menjual barangan berkaitan Volkswagen.

Seorang peserta dari Jogjakarta, Indonesia, Andy Wibowo, 40, berkata perkhemahan itu membolehkan pemilik berkongsi minat dan maklumat berkaitan kereta berkenaan.

“Saya gembira dapat berkenalan dengan rakan-rakan baru dan kita harap penganjuran sama dapat diadakan tahun depan,” katanya yang memiliki lima Volkswagen Beetle sejak 10 tahun lepas.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview